
PETRA JAYA: Festival Maal Hijrah 1447H/2025 (FMH 1447H/2025) anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) bermula secara rasmi hari ini menerusi majlis perasmian Pengibaran Bendera di Anjung Utama, Masjid Jamek Negeri Sarawak, di sini.

Majlis ringkas itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, sebagai simbolik pelancaran festival yang berlangsung dari 20 hingga 29 Jun ini.
Acara dimulakan dengan perarakan masuk pancaragam LAKMNS yang turut disertai oleh pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum diteruskan dengan penyerahan bendera rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif kepada ketua pancaragam.

Bendera kemudiannya dinaikkan secara rasmi dan akan terus dikibarkan sepanjang tempoh festival sebagai simbol bermulanya sambutan Tahun Baharu Hijrah peringkat negeri.
Dalam pada itu, FMH 1447H/2025 merupakan sebuah program berskala besar dianjurkan setiap tahun oleh LAKMNS bagi meraikan Maal Hijrah melalui pendekatan inklusif.

Festival tersebut menyasarkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan Islam menerusi penganjuran program berbentuk kerohanian, pertandingan, serta pameran yang bersifat mendidik dan memperkukuh perpaduan.
Maklumat lanjut mengenai festival ini boleh diperoleh menerusi portal rasmi www.fmhlakmns.com.
Oleh Shikin Mahmud