
SARIKEI: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) yang ditubuhkan pada 1995 dan telah diberi permit oleh Jabatan Hutan untuk membuat kajian stok karbon.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia dijalankan di kawasan yang dilesenkan kepada LAKIKR.
“Kita juga telah membahagikan kawasan lesen ini kepada kawasan untuk ditebang dan kawasan dibawah konservasi, terutama sekali dalam perdagangan karbon biru.
“Keseluruhan kawasan yang telah dikenal pasti untuk diperdagangkan karbon ini adalah 30,000 hektar.
“Alhamdulillah, kita sudah memeteraikan perjanjian dengan sebuah syarikat antarabangsa untuk mereka membuat kajian, iaitu dalam fasa pertama kajian ini melibatkan komuniti setempat supaya mereka dapat menanamkan pokok-pokok bakau dan sebagainya di kawasan-kawasan yang telah terjejas dari segi aktiviti-aktiviti sebelum ini,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang dan Pengerusi LAKIKR berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian Majlis Qurban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei bertempat di pekarangan Masjid Al-Muttaqin, hari ini.
Katanya, kajian tersebut dijalankan dalam tempoh tiga tahun.
“Insya-Allah, di penghujung kajian ini nanti, kita dapat bekerjasama dengan mana-mana pelabur yang berminat untuk karbon dioksida,” katanya.
Jelasnya, kawasan bakau mempunyai stok karbon yang tertinggi, sama ada karbon dibawah tanah atau atas tanah.
“Oleh sebab itulah, dari segi impak permit untuk perdagangan karbon di kawasan bakau di Kuala Rajang ini merupakan satu “games changer” yang mana ia akan dapat diperluaskan di kawasan-kawasan lain yang mempunyai bakau, sama ada di Lundu, Bako, Sematan dan sebagainya.
“Kerana kalau kita lihat dari segi liputan kawasan bakau, Kuala Rajang merupakan liputan yang terluas hutan bakau di Malaysia,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek