
KUCHING: Lembaga Air Kuching (LAK) akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera ke atas paip tekanan utama berdiameter 1400mm jenis Keluli Lembut Berlapis Simen (MSCL) yang rosak akibat runtuhan struktur konkrit di sepanjang Jalan Highfields Light Industrial berhampiran Jalan Batu Kawa.
Kerja-kerja tersebut dijadual bermula 9.00 malam pada Jumaat, 11 Julai ini dan dijangka siap 7.00 pagi, Sabtu ini.
Menurut kenyataan LAK, ini merupakan percubaan ketiga untuk melaksanakan kerja pembaikan kekal ke atas saluran paip kritikal berusia lebih 30 tahun itu yang membekalkan kira-kira 170 juta liter sehari (MLD), iaitu sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran air terawat di Kuching sebanyak 778 MLD.
Kawasan utama terlibat termasuk Jalan Matang dari Kubah Ria ke Batu 9, Taman Sri Harmoni, Jalan Sungai Tengah, Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhamad Salahudin, Jalan Demak, Jalan Bako, Muara Tebas serta Petra Jaya dan kawasan sekitar di bawah seliaan JBALB.
Terdahulu, usaha pembaikan menghadapi cabaran seperti kekangan ruang kerja, tanah tidak stabil, ketidakserasian dimensi paip lama yang menyukarkan pencarian alat ganti, serta kedudukan paip di bawah struktur konkrit berat yang memerlukan pengalihan teliti sebelum kerja pembaikan dapat dilakukan.
Sehubungan itu, pengguna di beberapa kawasan dijangka mengalami gangguan bekalan air atau tekanan air rendah sepanjang tempoh pembaikan dijalankan.
Pihak LAK turut menjangka kemungkinan berlakunya kejadian air berangin (airlock) serta air keruh semasa tempoh pemulihan bekalan selepas kerja pembaikan selesai.
Sebagai langkah sokongan, lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan yang terjejas, manakala pengguna dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya sebelum tempoh kerja pembaikan bermula.
LAK menegaskan komitmen mereka untuk memastikan sistem bekalan air dipulihkan dengan gangguan minimum dan akan terus memantau perkembangan kerja secara rapi dari semasa ke semasa.
Orang awam digesa untuk bersabar dan memberikan kerjasama sepanjang tempoh kerja pembaikan infrastruktur bekalan air utama ini dilaksanakan.
Oleh Shikin Mahmud