
SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa generasi muda melalui pembinaan landasan inklusif yang menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, seiring aspirasi negeri untuk mencapai kerajaan digital, teknologi hijau, dan tenaga boleh diperbaharui.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata pendidikan berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) dengan tumpuan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan strategi tepat bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing dalam era transformasi digital.
“Pendekatan ini selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang menekankan kepentingan modal insan cemerlang sebagai asas membina negara bangsa yang maju dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Aktiviti Libat Sama Akademik Swinburne, semalam.

Program tersebut menghimpunkan seramai 40 pelajar sekolah menengah dari sekitar Bandar Simanggang, memberi pendedahan tentang peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Swinburne, salah sebuah institusi milik kerajaan Sarawak.
Bermula tahun depan, universiti ini akan menawarkan pengajian percuma kepada anak Sarawak melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Inisiatif yang diketuai Cynthia Aleng dari Fakulti Perniagaan, Rekabentuk dan Seni itu diharap mampu mengubah persepsi ibu bapa yang sebelum ini menganggap universiti berkenaan mengenakan kos pengajian tinggi.
Harden turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, pelajar, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan ibu bapa atas sokongan mereka dalam menjayakan program yang membawa maklumat penting mengenai laluan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
“Sokongan padu semua pihak akan mampu melahirkan generasi muda Sarawak yang bersedia mendepani cabaran global dan membawa negeri ini ke tahap lebih gemilang,” tegasnya.
Oleh Adi Safarman