PERSATUAN Bola Sepak Bahagian Kapit (Kapit FA) memasang cita-cita untuk melahirkan pemain yang berkualiti dan mampu ditampilkan ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini.
Penaung Kapit FA, Wilson Nyabong Ijang berkata, beliau melihat sendiri situasi pembangunan bola sepak di Kapit sememangnya ada perkembangan tetapi ingin melihat ia lebih berkembang.
“Pasukan kelab atau persatuan perlu melahirkan pemain-pemain yang dapat dibanggakan mewakili Kapit seterusnya Sarawak dan Malaysia.
“Pembangunan bola sepak perlu mengambil pendekatan yang mampu menghasilkan pemain-pemain berkaliber dalam tempoh masa yang ditentukan,” katanya semasa melakukan sepak mula perlawanan diantara Kapit FA menentang Sarikei FA di Stadium Mini Song, Ahad lalu.
Dalam perlawanan itu, Kapit FA berjaya menundukkan Sarikei FA dengan keputusan menyebelahi tuan rumah 3-0.
Wilson berkata, semua pihak perlu melihat kembali dengan mengkaji strategi tersendiri terhadap sukan tersebut supaya kejayaan dapat dicapai.
“Saya minta Kapit FA mempergiatkan aktiviti-aktiviti peringkat bawahan dengan mencungkil bakat pemain usia muda supaya bakat mereka dapat diketengahkan untuk mewakili Kapit dan Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut menggesa pasukan dan persatuan sukan seluruh Kapit bersama-sama berusaha menghasilkan prestasi pemain yang dapat dibanggakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus itu berkata, beliau melihat usaha gigih Kapit FA diterajui Presiden, Nicol Agoi dan Ahli Jawatankuasanya menganjurkan banyak kejohanan dan program peringkat akar umbi serta akademi bola sepak sejak beberapa tahun lalu.
“Saya memberi sokongan penuh dan menghargai usaha tersebut tanpa kenal penat lelah menganjurkan kejohanan serta program mencari bakat pemain muda di peringkat akar umbi bagi mencungkil bakat mereka,” katanya.
Justeru itu, Kapit FA perlu mencari pendekatan sama melahirkan pemain-pemain handalan sekali gus meneruskan usaha mencari legasi dan mencungkil bakat-bakat baharu peringkat sekolah rendah dan menengah.
“Menceburi bidang sukan bola sepak bukan sekadar melahirkan seseorang yang mampu berdikari dan berpotensi tinggi tetapi kita melihat dalam tempoh 30 hingga 40 tahun lepas yang mana sukan nombor satu dunia ini melahirkan manusia yang taat dan berguna dalam menjalani kehidupan bahkan membina kerjaya serta memupuk keadaan diri yang sihat sejahtera.
“Jangan anggap bola sepak hanya satu permainan, habis bermain, simpan kasut balik rumah.
“Mereka (pemain) yang terlibat dalam sukan itu perlu mengganggap permainan itu satu kerjaya dalam kehidupan dan tidak mustahil pemain akan dibayar RM1,000 sejam seperti pemain profesional yang dibayar banyak dengan menjana pendapatan tinggi apabila mencapai kejayaan,” ujar Wilson.
Beliau turut menyeru para pemain Kapit FA yang menyertai Liga SSC-FAS Bawah 25 tahun itu agar sentiasa fokus, komited dan berdisiplin tinggi dalam setiap permainan sekiranya ingin mencapai sesuatu kejayaan.
Wilson juga menyifatkan peranan sukan bola sepak yang mampu menyatukan komuniti pelbagai bangsa dan latar belakang yang berbeza di atas padang mengikut peraturan sekali gus melahirkan pemain yang berkaliber serta mampu membina kerjaya dalam sukan itu.
Beliau turut melakukan penyerahan sumbangan 10 biji bola daripada Kapit FA kepada pusat pembangunan bola sepak di bawah Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Kapit.
Oleh ADI SAFARMAN