PERBADANAN Sukan Sarawak (SSC) komited untuk melahirkan jaguh badminton bertaraf dunia bermula daripada pemain akar umbi di negeri ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Dr. Ong Kong Swee, pelan jangka masa panjang yang direncanakan adalah melahirkan jaguh sukan badminton yang mampu menyinar dalam saingan ke peringkat lebih tertinggi.
“Ini adalah perancangan jangka masa panjang kerana adalah mustahil bagi melahirkan pemain yang berkualiti dalam jangka masa setahun atau dua tahun dan kita perlu bermula daripada pemain akar umbi.
“Menerusi program ini, kita yakin dapat melahirkan lebih ramai atlet yang bakal memiliki taraf kualiti dunia pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada perasmian Sirkit Badminton Remaja Sarawak Siri 1 di Dewan Pelbagaiguna Petra Jaya di Kuching, kelmarin.
Dr. Ong turut menjelaskan menerusi 19 siri sirkit yang bakal diadakan di seluruh Sarawak pastinya mampu memberi pendedahan kepada pemain muda seterusnya dapat melatih mereka ke tahap mental supaya tidak gugup dalam kejohanan yang lebih besar kelak.
“Kita mahu Sarawak mempunyai pemain berkualiti yang mantap dan mampu menyinar dalam apa jua pertandingan.
“Ini kerana kita mempunyai fasiliti untuk membentuk jaguh profesional bertaraf dunia dan kita seharusnya menggunakan fasiliti yang ada dengan sebaiknya,” tambahnya lagi.
Pada masa sama, Menteri Muda Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan turut melihat program ini boleh dijadikan laluan bagi memajukan pemain muda selain menambah pengalaman serta persediaan psikologi serta mampu meningkatkan tahap fizikal.
“Proses untuk menilai pemain berbakat juga akan jadi lebih mudah kerana menerusi sirkit ini, kita dapat menilai konsistensi pemain yang berbakat dan dapat dipastikan menerusi jumlah mata yang dipungut sepanjang kejohanan.
“Ini secara tidak langsung akan meningkatkan persaingan dalam kalangan pemain muda dan setiap pemain akan berusaha untuk berebut tempat untuk masuk ke dalam skuad elit badminton Sarawak,” jelasnya.
Oleh ASYRAF HALIM