


PETRA JAYA: Lebih 265 perenang muda dari 34 sekolah rendah seluruh negeri membanjiri Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini bagi menyertai Pertandingan Renang Antara Sekolah Rendah PASC ke-8 2025, yang berakhir dengan penuh kemeriahan dan semangat kesukanan, hari ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim ketika berucap pada acara itu berkata pertandingan itu adalah landasan penting untuk mencungkil bakat baharu.
“Kejohanan seperti ini bukan sahaja menjadi platform memburu pingat, malah berfungsi sebagai landasan penting dalam membina semangat kesukanan, disiplin, ketahanan dan kerjasama dalam kalangan atlet muda.
“Di kolam-kolam kecil seperti inilah impian dilahirkan dan juara diasuh. Seorang atlet bertaraf dunia tidak muncul dalam sekelip mata yang bermula dengan ketekunan, keberanian, dan sokongan komuniti.
“Sebagai sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan akuatik, sebanyak RM7,000 disumbangkan kepada Power Aquatics Swimming Club bagi membiayai beberapa program akan datang.
“Ini termasuk Pertandingan Renang Antara Kelab ke-2 (10–12 Mei 2025), Sarawak Sprint ke-5 (15–17 Ogos 2025) dan Piala Polo Air Jemputan Kuching ke-4 (22–25 November 2025).
“Saya menyeru lebih banyak pihak korporat dan komuniti setempat untuk tampil menyokong pembangunan sukan akuatik di Sarawak, demi membina barisan juara masa depan,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutup pertandingan itu hari ini.
Pertandingan tersebut menyaksikan suasana penuh semangat juang, keazaman, dan persahabatan, mencerminkan potensi besar Sarawak dalam melahirkan atlet bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.
Power Aquatics Swimming Club, di bawah pimpinan Presiden Kapitan Tan Kun Gee dan Pengerusi Penganjur, Voon Yong Hui, terus komited memperkasa pembangunan sukan renang dan polo air di peringkat akar umbi.
Majlis penutupan disemarakkan dengan kata-kata semangat buat semua atlet muda iaitu dalam setiap percikan, impian terlahir; dalam setiap perlumbaan, semangat disemat.
Berenanglah dengan keberanian dan bangga, kerana obor kejuaraan menyala dalam jiwa.