
SHAH ALAM: Lagu ‘Putusnya Butir Tasbihku’ dendangan kumpulan Ustaz 3 Beradik (feat. Fadzil Far East) dinobat sebagai juara pada Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam tadi.
Kemenangan itu melayakkan komposer Frizdan Fizarahman serta penulis lirik Fadzli Far East dan Amy Bong membawa pulang RM10,000 berserta trofi.
Lagu yang disampaikan dengan tema banduan akhir itu turut meraih anugerah persembahan terbaik sekali gus membawa pulang RM3,000 berserta trofi.
Naib juara ACI’25 pula dimenangi kumpulan Simfoni (feat. Ezad Lazim) menerusi lagu ‘Terus’ yang turut memenangi anugerah lirik terbaik, manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Rabbani dengan lagu ‘Husnul Khatimah’, sementara vokal terbaik dimenangi kumpulan Fetya menerusi lagu ‘Taufan Al-Aqsa’.
Acara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
ACI’25 merupakan acara kemuncak tahunan yang mengiktiraf karya nasyid terbaik tanah air berdasarkan undian dan penilaian juri profesional.
Anugerah itu juga menjadi platform penting bagi menghargai sumbangan artis nasyid dalam memperkukuh industri muzik berteraskan mesej dakwah, kemanusiaan dan ketuhanan selain mengiktiraf kreativiti dan penghasilan karya berkualiti tinggi yang memberikan impak positif kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Zulkifli ketika ditemui pemberita berkata anugerah berkenaan merancakkan seni muzik nasyid, selain memperlihatkan penglibatan penggiat seni daripada pelbagai lapisan termasuk golongan muda.
Beliau berkata keadaan itu memberikan harapan baharu kepada negara untuk mencetuskan gelombang kebangkitan semula nasyid seperti yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu, selain mengucapkan tahniah kepada IKIM serta semua pihak yang terlibat dalam penganjuran ACI’25.
“Alhamdulillah dari segi penggiat nasyid itu kita nampak bahawa sudah ada generasi pelapis dengan adanya munsyid dan juga bimbingan daripada senior yang sudah lama terlibat dalam industri ini.
“Namun, yang paling penting juga bagaimana kualiti dan juga kandungan mesej yang disampaikan itu … contohnya dari sudut alam sekitarnya, kerohaniannya, perpaduan, kedamaian dan itu yang kita mahukan, satu bentuk seni yang sebenarnya membina, bukan meruntuhkan,” katanya.
ACI’25 dianjurkan oleh IKIM bersama rakan penaja Insaf Insani, Mardhiyyah Hotel & Suites dengan kerjasama Tarbiah Sentap Production dan UiTM.
-Bernama