PENERANGAN… Penggiat industri pelancongan dari Langkawi memberi penerangan kepada para peserta
program semasa sesi B2B bersama pemain industri Sarawak yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuching,
kelmarin
KUCHING: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan 2.2 juta pelancong bagi tahun 2022 yang akan menumpukan kepada 85 peratus pelancong domestik.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Ahmad Fuad Che Ani berkata untuk peringkat domestik, LADA menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berasaskan kemasukan pelancong yang memastikan industri pelancongan Langkawi terus berkembang selepas pandemik Covid-19.
“Dengan mengambil kira kesalinghubungan sedia ada, Sarawak merupakan antara destinasi sasaran dalam perancangan bagi mencapai sasaran itu dan sesi ‘Business to business’ (B2B) antara penggiat industri pelancongan dari Langkawi dan penggiat industri pelancongan Sarawak merupakan langkah awal ke arah sasaran berkenaan.
“Program B2B ini merupakan salah satu usaha LADA bagi merancakkan semula sektor pelancongan Langkawi yang terjejas teruk akibat daripada pandemik Covid-19,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sesi B2B bersama pemain industri Sarawak yang diadakan di Hotel Hilton, kelmarin.
Dalam ucapan tersebut, beliau turut mendedahkan Langkawi hanya mencatatkan seramai 1.09 juta orang dan sebahagian besarnya adalah melalui program Langkawi Travel Bubble yang bermula pada 16 September bagi domestik dan 15 November bagi antarabangsa pada tahun lalu.
Jelasnya, pembukaan sempadan negara mulai 1 April yang akan datang dijangka akan merancakkan kembali landskap industri pelancongan Langkawi dengan nafas baharu yang suram sejak pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu.
“Pada masa sama, LADA menyambut baik kesungguhan Air Asia yang akan menambah penerbangan ke Langkawi daripada dua kali ke tiga kali seminggu mulai April 2022. LADA juga akan berbincang dengan Air Asia untuk kemungkinan penambahan penerbangan terus dari bandar-bandar lain ke Langkawi seperti Miri dan Bintulu.
“Dalam pada itu, LADA telah melakukan perancangan untuk terus mempergiatkan lagi siri promosi domestik sepanjang tahun 2022 dan juga antarabangsa bagi memastikan Langkawi terus menjadi destinasi pilihan para pelancong dari dalam dan luar negara,” ujarnya.
Di samping itu, maklum beliau LADA bersama pihak berkuasa lain serta penggiat industri pelancongan di Langkawi sedang mengenal pasti dan meningkatkan persediaan rapi bagi menyambut ketibaan pelancong antarabangsa mulai 1 April akan datang.
Dalam program B2B tersebut, 13 penggiat industri pelancongan dari Langkawi terdiri daripada agensi pelancongan, hotel, produk pelancongan dan bertemu dengan penggiat industri dari Sarawak bagi menjalin kerjasama perniagaan sekaligus menaikkan semula sektor pelancongan Langkawi dan Malaysia amnya.
Selain itu, sesi B2B tersebut juga dihadiri 31 penggiat industri dari Sarawak bagi mendapatkan tawaran menarik yang disediakan oleh penggiat industri dari Langkawi.
Oleh RYNNA SHA’ERRA