SARIKEI: Industri lada menyumbang sekitar RM2.27 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2025.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sumbangan industri berkenaan meningkat 1.4 peratus berbanding RM2.24 bilion pada tahun sebelumnya, mencerminkan kepentingan komoditi tersebut kepada ekonomi negara.
“Pada 2003, Lada Sarawak didaftarkan sebagai Petunjuk Geografi. Pengiktirafan tersebut melindungi nama, identiti dan asal usulnya.
“Kekuatan Lada Sarawak turut memberikan sumbangan kepada ekonomi negara. Pada 2025, industri lada menyumbang sekitar RM2.27 bilion kepada KDNK.
“Angka ini meningkat 1.4 peratus berbanding RM2.24 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Karnival Agrikomoditi MADANI anjuran Kementerian Perladangan Komoditi di Dewan Sentral Sarikei, semalam.
Katanya, pencapaian industri itu turut didukung kira-kira 39,000 pekebun kecil yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan kualiti dan reputasi Lada Sarawak di pasaran.
“Namun, di sebalik angka itu ada kira-kira 39,000 pekebun kecil yang menjaga tanaman setiap hari. Merekalah yang mempertahankan mutu dan membina nama Lada Sarawak sehingga dikenali dunia.
“Kita mahu usaha mereka memberikan pulangan yang lebih baik. Kita tidak mahu pekebun kecil hanya menjual hasil mentah. Nilai daripada pemprosesan dan pemasaran juga mesti kembali kepada mereka,” katanya.
Justeru, beliau mahu lebih banyak produk hiliran bernilai tinggi dibangunkan bagi membuka peluang kepada usahawan, koperasi, golongan wanita dan generasi muda, termasuk di Sarikei, untuk mengambil bahagian dalam rantaian nilai industri.
“Sebab itu, lebih banyak produk bernilai tinggi perlu dibangunkan. Inilah ruang untuk usahawan, koperasi, golongan wanita dan anak muda Sarikei.
“Kita mahu mereka membina produk dan jenama sendiri. Kita mahu nilai daripada nama besar Lada Sarawak kembali kepada masyarakat yang menanam dan mengusahakannya,” katanya.
Dalam pada itu, Noraini berkata, kesinambungan sektor agrikomoditi turut bergantung kepada kesediaan generasi baharu untuk meneruskan perusahaan keluarga dan melihat sektor berkenaan sebagai kerjaya yang mempunyai masa depan.
“Setiap kebun memerlukan pewaris. Persoalannya, adakah anak-anak kita mahu meneruskan usaha yang telah dibina oleh ibu bapa mereka?
“Anak muda mahu melihat masa depan. Mereka mahu pekerjaan yang memberikan pendapatan. Mereka juga mahu ruang untuk menggunakan ilmu, teknologi dan kreativiti,” katanya lagi.
Beliau menegaskan sektor agrikomoditi perlu bergerak seiring perubahan zaman dan tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai pekerjaan berat yang tertumpu kepada aktiviti di kebun.
“Sektor ini menawarkan peluang dalam teknologi, mekanisasi dan penyelidikan. Peluang juga terbuka dalam pemasaran digital, pembangunan produk dan keusahawanan,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, Noraini menggalakkan golongan muda meneroka latihan, kemahiran dan peluang kerjaya dalam sektor tersebut bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam transformasi industri agrikomoditi.
“Kepada para belia yang hadir, gunakanlah karnival ini untuk mengenali peluang yang tersedia. Dapatkan maklumat mengenai latihan, kemahiran dan kerjaya.
“Jangan melihat kebun keluarga sebagai sesuatu yang perlu ditinggalkan. Dengan pengurusan yang baik dan akses kepada pasaran, kebun itu boleh dibangunkan menjadi perusahaan moden.
“Di tangan generasi baharu, kebun yang diwarisi boleh menjadi sumber rezeki yang lebih besar. Di situlah masa depan mereka boleh dibina,” katanya.
Oleh Earl Anek





