KUALA LUMPUR: Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) berpotensi menjadi platform bagi memperluas keupayaan Malaysia dalam bidang kewangan Islam digital.
Sehubungan itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan sedia bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi merealisasikan sasaran itu selain mengembangkan bidang tersebut sebagai alternatif kepada teknologi kewangan (fintech) konvensional, terutama ketika ekonomi mulai pulih dan mencatat momentum sewajarnya pada 2022.
“Mengambil kira usaha memanfaatkan sistem kewangan dua hala Malaysia, adalah menjadi aspirasi saya agar Labuan IBFC tidak hanya menyediakan tawaran konvensional, tetapi juga produk-produk patuh Syariah serta struktur berkaitan bagi memenuhi permintaan serta keinginan pelabur global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran duit syiling kenang-kenangan bersempena ulang tahun ke-25 Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) yang juga pengawal selia Labuan IBFC serta agensi di bawah Kementerian Kewangan.
Bersempena usaha meraikan sambutan jubli perak Labuan FSA itu, Tengku Zafrul turut melancarkan duit syiling dengan permukaan 3D potongan berlian yang memaparkan Labuan sebagai pulau dikelilingi oleh lautan biru (batu nilam yang menggambarkan Labuan FSA dan Labuan IBFC sebagai permata berharga Labuan) di Laut China Selatan.
Duit syiling tersebut akan dikeluarkan dalam jumlah terhad mulai Februari 2022.
Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul mengingatkan bahawa hala tuju seterusnya bagi Labuan perlu berteraskan elemen kemampanan, kewajaran serta ketentuan pasaran yang dipacu oleh teknologi digital serta inovasi.
“Saya gembira melihat Labuan IBFC memulakan hala tuju pertumbuhan baharu yang digerakkan oleh pendigitalan. Labuan IBFC juga telah muncul sebagai pihak berkuasa yang mesra digital pada 2017 menerusi aktiviti dagangan aset digital secara dalam talian.
“Sejak itu, bilangan penyedia perkhidmatan kewangan digital turut meningkat kepada 85 yang mewakili perbankan digital dan teknologi insurans serta perantara digital seperti nasihat kewangan menggunakan teknologi robotik, pertukaran aset digital, pengeluar token dan sistem e-pembayaran,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Labuan IBFC kini merupakan majikan kolar putih terbesar di wilayah itu yang merangkumi 85 peratus daripada jumlah pekerjaan serta menggaji lebih 6,000 orang daripada kalangan komuniti tempatan, negeri berhampiran serta negeri lain di Malaysia.
Labuan IBFC juga menyumbang lebih daripada 60 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Labuan pada 2020.
Pada 2019 dan 2020, sumbangan ekonomi Labuan IBFC ke atas negara itu mencecah hampir RM5 bilion, sekali gus menjadikannya penyumbang terbesar kepada KDNK Labuan serta menjadi enjin pertumbuhan bagi pembangunan pulau tersebut.
“Saya juga gembira apabila dimaklumkan bahawa Asia Pasifik dan Timur Jauh menyumbang 70 peratus daripada perniagaan di Labuan IBFC.
“Sebagai bukti kepada usaha itu adalah kewujudan syarikat-syarikat dan pemegang lesen dari 125 negara yang menjadikan Labuan sebagai lokasi mereka,” katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul turut menggalakkan Labuan FSA untuk terus mempermudah inovasi kewangan dan menarik lebih banyak syarikat fintech untuk beroperasi di pasaran Asia dengan matlamat akhir sebagai hab kewangan digital terkemuka di Asia.
Beliau juga memuji pencapaian Labuan FSA yang seiring dengan piawaian antarabangsa selain telah melaksanakan pelbagai langkah kawalan diperlukan untuk memastikan hanya perniagaan sah beroperasi dengan urus niaga mengikut undang-undang.
“Kerajaan turut mengalu-alukan pendekatan yang pragmatik dan menumpukan pasaran serta meraih keseimbangan antara pengawasan penyeliaan berteraskan risiko dan kerangka undang-undang moden dengan rejim cukai yang cekap.
“Ini merupakan kekuatan serta kelebihan unik dalam memenuhi keperluan pelabur sofistikated antarabangsa sebagaimana diperakui oleh organisasi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD),” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, sejajar dengan komitmen bagi pematuhan OECD, aspek keperluan asas minimum dikenakan ke atas entiti yang beroperasi dari Labuan IBFC yang dijangka menjana lebih banyak manfaat sosioekonomi untuk Labuan.
Baru-baru ini, entiti dagangan lain (OTE) turut disertakan dalam keperluan asas tersebut dan rejim fiskal Labuan IBFC oleh Kementerian Kewangan yang melihat inisiatif tersebut dapat membantu pasaran sebagai OTE dan menjadi sebahagian daripada entiti Labuan yang lebih besar.
Sejajar dengan kepentingan pendekatan berterusan untuk memperkukuh aspek pengawalseliaan pasaran, rangka kerja undang-undang dan kawal selia Labuan turut dipertingkat agar seiring dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan piawaian Pasukan Petugas Khas Kewangan Antarabangsa.
Tengku Zafrul berkata, sejak 25 tahun lepas, Labuan telah memaparkan keupayaannya untuk seiring dengan persekitaran antarabangsa dan serantau yang pesat berubah dan menyaksikan transformasinya sebagai sebuah pusat kewangan antarabangsa dengan kehadiran ribuan syarikat serta ratusan institusi yang aktif.
Sejak penubuhan Labuan FSA pada 1996 selaku pengawal selia tunggal, bilangan institusi kewangan berlesen turut meningkat lebih 10 kali ganda daripada 80 entiti kepada 850 pemain kewangan antarabangsa dan serantau di IBFC pada masa ini.
Labuan kini menempatkan lebih daripada 5,200 syarikat aktif dari 125 negara.- Bernama