
SEOUL (Korea Selatan): Label K-pop ADOR memfailkan saman pampasan terhadap bekas anggota kumpulan NewJeans, Danielle, susulan pertikaian kontrak berpanjangan yang menjejaskan perjalanan kerjaya kumpulan itu sejak setahun lalu.
Tindakan berkenaan dibuat sehari selepas ADOR mengumumkan penamatan kontrak Danielle, dengan alasan pihaknya mendapati adalah sukar untuk beliau meneruskan kerjaya sebagai artis di bawah syarikat tersebut.
Jurucakap ADOR berkata saman pampasan itu turut difailkan terhadap seorang ahli keluarga Danielle serta bekas penerbit kumpulan berkenaan, Min Hee-jin.
“Saman pampasan telah difailkan terhadap Danielle, seorang ahli keluarganya dan bekas penerbit kumpulan itu,” katanya kepada AFP hari ini, tanpa memperincikan butiran lanjut.
Agensi berita Yonhap melaporkan jumlah tuntutan terhadap ketiga-tiga individu berkenaan mencecah hampir 43.1 bilion won (RM150.9 juta).
Pertikaian itu tercetus selepas Mahkamah Daerah Pusat Seoul pada Oktober lalu memutuskan bahawa lima anggota NewJeans perlu mematuhi kontrak masing-masing dengan ADOR, yang syarikat induknya, HYBE, turut menaungi kumpulan sensasi K-pop, BTS.
Pada November 2024, anggota NewJeans mengumumkan keputusan untuk meninggalkan ADOR, mendorong syarikat itu memohon injunksi bagi menghalang mereka daripada menjalankan sebarang aktiviti komersial. Permohonan berkenaan diluluskan oleh mahkamah pada Mac lalu.
Dalam kenyataan sebelum ini, ADOR menyatakan bekas penerbit utama kumpulan itu, Min Hee-jin, memikul ‘tanggungjawab besar’ dalam mencetuskan pertikaian tersebut, yang menyebabkan NewJeans meninggalkan syarikat serta kelewatan untuk kembali aktif, selain membabitkan seorang ahli keluarga Danielle.
Menurut ADOR, tiga daripada empat anggota kumpulan yang masih berbaki telah memutuskan untuk kekal bersama syarikat itu, manakala Minji masih dalam perbincangan.
NewJeans, yang debut pada 2022, merupakan antara artis paling berjaya di bawah HYBE.
Pertikaian kontrak itu tercetus susulan dakwaan bahawa HYBE telah menyingkirkan Min Hee-jin daripada jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ADOR. Anggota NewJeans kemudian mengemukakan ultimatum menuntut pelantikan semula Min, namun tuntutan tersebut ditolak.
Para anggota kumpulan itu kemudiannya tampil secara terbuka dengan dakwaan bahawa syarikat berkenaan sengaja menjejaskan kerjaya mereka. Salah seorang anggotanya, Hanni, mendakwa kumpulan itu mengalami layanan tidak adil, termasuk salah komunikasi dan manipulasi yang disengajakan.
Bagaimanapun, mahkamah pada Oktober lalu menolak dakwaan bahawa pertikaian tersebut telah menyebabkan keretakan kepercayaan yang tidak dapat dipulihkan antara NewJeans dan ADOR.
Dalam perkembangan terbaharu, ADOR mendakwa anggota kumpulan itu telah menerima maklumat yang terpesong dan berat sebelah dalam tempoh yang panjang, sekali gus menimbulkan salah faham terhadap syarikat berkenaan.- AFP