Oleh Justi Amban
“CEPAT-CEPAT.” “Cepat- cepat, cepat.”
Suasana agak riuh pagi itu, seperti ada pesta lagaknya. Hari-hari lain pun riuh juga tetapi pagi itu lebih riuh dari biasa. Oh ya… rupa-rupanya masih di hujung Syawal dan beberapa hari lagi akan disambut Perayaan Gawai. Orang berhimpit-himpit di lorong-lorong antara meja penjual ikan basah. Maka taukey-taukey ikan pun senyum selebar-lebarnya. Tentu lumayan, banyak masuk.
Sudah lebih 30 tahun aku menghuni di daerah itu dan wajah pasar basah itu pun sudah beberapa kali berubah. Daripada yang agak sengkek dan daif dahulu menjadi semakin besar dan gah dan sekarang tempat itu cukup selesa. Tahniah YB. Tahniah Majlis Daerah!
Sebagai sebuah masyarakat majmuk, ada tiga kaum utama yang menjadi penjual ikan di pasar basah – Melayu, Iban dan Cina. Cantik. Semuanya mesra seperti adik beradik. Jangan hairan orang Melayu dan Cina pun bercakap bahasa Iban. Huhu. Agik Idup Agik Ngelaban. Bermakna begitu lama sudah masyarakat hidup aman sentosa. Masing-masing mencari rezeki. Alangkah manisnya hidup dengan harmoni. Syukur.
Taukey Melayu biasanya menjual ikan-ikan segar dari sungai atau laut. Hasil-hasil ini kebanyakannya datang dari Kabong, Gerigat, Mpelam dan Kupang. Tidak hairanlah bila musim ikan, akan kelihatan pelbagai ikan yang dilonggokkan di atas meja jualan. Dari sungai tentu dengan udang galahnya, udang dara, baung. sembilang, bekut, senek, mbutan dan ikan bulu. Dari laut tentu sekali terubuknya, buntal, senangin, ketam, lumek, udang payak, udang sia, tohey, lapis, ndurik, payak bukuk, popot, mpipik dan kilat. Ah… terlalu banyak jenis ikan hingga susah untuk diingat nama semuanya. Maha Suci Tuhan yang maha menciptakan!
Yang disejuk beku biasanya taukey Cina yang jual – kembung, sardin, bawal hitam, ikan merah, tenggiri, ikan tilapia dan sebagainya. Penjual Iban tentu popular dengan keli dan ikan-ikan kolam yang lain dan ada juga beberapa orang yang menjual ikan yang disejuk beku.
“Cepat-cepat.” “Cepat – cepat.”
Aku cuba menangkap suara itu. Seperti biasa dengar. Oh, nun dari hujung gerai kelihatan Usu Man sedang dikerumuni pembeli dan peminat ikan sungai.
“Labang, labang, tuan-tuan. Ada lima ekor sahaja lagi.” “Cepat, siapa cepat dia dapat.”
“Ha, cikgu Li,”
Seperti dia mengarah suara kepada aku. Aku angkat muka. Senyum. Dia balas senyum. Kawan baik. Usu Man menjadi sangat terkenal dengan jualan udang galahnya. Dari harga hanya RM20 sekilo dahulu, sekarang udang galah sepit biru sudah RM80 sekilo. Aduh.
“Berapa sekilo Su?” kataku ringkas, sambil mataku tajam memerhati setiap seekor yang tinggal lima ekor itu. Ikan labang adalah seperti ikan raja di Sungai Krian. Entah kenapa ikan itu sangat sedap, kata yang menggemarinya. Kerana sangat sedap itu, harganya melambung-lambung macam harga rumah di Kalakos itu juga. Sekarang labang sudah mencecah RM100 sekilo. Dahulu hanya dalam RM25 sahaja.
Mungkin kerana faktor ikan itu tidak banyak dan sukar diperolehi, maka harganya semakin mahal. Orang Terengganu bilang macam rega bedil. Tapi memang sedap juga kalau dimasak asam dengan tempoyak atau dipais dengan daun nipah atau daun buan. Arwah mak aku dahulu cukup suka ikan labang yang dipais.
“Sekarang dah RM120 cikgu,” jawab Usu Man sambil tersenyum kecil.
Aih, macam nak melompat aku.
“Baharu dua minggu lepas RM100, minggu ini dah RM120?” aku meluahkan rasa kepada Usu Man.
“Ikut harga pasaran cikgu. Dua minggu lepas harga dari nelayan sungai rendah, sekarang dah naik, ikut peredaran zaman juga cikgu.”
Oh, getus hatiku. Faham. Harga barang-barang keperluan semuanya naik. Ayam naik, telor ayam naik. Tepung naik, minyak naik, gula naik. Sayur naik, beras naik. Apa yang tidak naik? Semua barang naik harga. Seperti hanya duit sahaja yang turun harga. Duit makin mengecil harganya. Dahulu zaman aku sekolah rendah, dua puluh sen dah cukup jadi bekal. Mee sepuluh sen, air lima sen, gula-gula lima sen. Zaman dah jauh berubah. Duit pun berubah.
“Timbangkan 2 ekor Su.”
Usu Man membungkus dua ekor yang berat dalam sekilo lebih setiap seekor.
“RM240 cikgu tapi saya bagi diskaun jadi RM230 untuk cikgu”. Usu Man yang seperti sebaya aku wajahnya menyuakan plastik biru muda itu kepada aku dengan penuh hormat. Dia asal Kampung Perpat. Jauh juga ke sana dari Kalakos.
“Nah Su, ambil ni.”
“Cikgu ada lebih ni, dua puluh ringgit.”
“Ambil jer Su untuk beli gula kopi.”
Usu Man senyum terharu dan kehilangan kata-kata.
Ikan labang sudah ada dua ekor. Senang hatinya kerana memang hasrat dari dahulu. Ikan labang tidak ada di Semenanjung. Mereka di sana tidak pernah pun tengok ikan ini kecuali yang pernah berkhidmat di Sarawak khususnya di Kalakos. Di Semenanjung ada patin sahaja yang hampir serupa dengan labang tapi rasanya tidak sama. Bagai langit dengan bumi. Bagai enggang dengan pipit. Haha.
Aku balik dengan hati yang berbunga-bunga. Dua ekor labang akan dibekukan dalam masa dua hari sementara menunggu tarikh yang sangat dia nanti-nantikan. Ikan itu akan dimasak tempoyak tetapi dibubuh kunyit hidup yang ditumbuk lumat. Sedikit daun kesum beberapa biji cili padi. Fuh, gerenti meleleh punya! Campur sedikit bunga kantan, getus hatinya.
Sibu.
Cuaca sangat mesra sewaktu aku bertolak dengan kereta melalui jalan Pan Borneo yang telah hampir-hampir siap. Lancarnya perjalanan bila sistem jalan sempurna. Dalam perjalanan hampir dua jam itu, aku teringat jalinan lebuh raya di Semenanjung yang begitu cantik dan sempurna. Sedapnya memandu di sana. Dulu pernah berkereta dari Kuala Lumpur ke Terengganu beberapa tahun yang lalu. Kereta, kawan baik bagi pinjam. Masya Allah seronoknya di sepanjang jalan, dengan adanya hentian RnR yang serba serbi lengkap, amat menerujakan.
Pukul 11.00 pagi penerbangan AK2341pun mendarat. Alhamdulillah yang telah memudahkan. Enam orang sahabat baikku kusambut mesra. Bayangkan dua puluh lapan tahun tidak pernah berjumpa sejak berpisah apabila tamat persekolahan. Kami berpelukan dan bersalam mesra.
Selepas selesai semua, kami pun gerak ke Kalakos. Singgah makan tengah hari di gerai di Sibujaya. Ada yang fikir grup ini adalah grup yang mahir menghalau jin, entah kenapa. Kami ketawa berdekah-dekah. Mungkin ada yang penampilan seperti pakar ruqyah.
“Malam ini selepas isyak, aku jemput kau orang di hotel,” kataku sewaktu menurunkan mereka di lobi hotel Mega Inn. Hotel yang sederhana untuk orang-orang yang banyak duit – profesor, engineer, kontraktor dan tuan loyar. Harap mereka redalah dengan hotel itu. Di Kalakos belum ada penginapan yang hebat-hebat.
“Ulat mulong ada tak?” Sahabat yang suka berjenaka bertanya, sambil dia ketawa.
“Haha… yalah tu, nanti aku cari,” aku cuma ketawa.
Malam itu tercapailah hajatku untuk menjamu kawan-kawan dari Semenanjung dengan masakan ikan labang campur tempoyak versi Kalakos. Ulam-ulaman, sayur nangka muda. Ayam masak bercili, udang tohey masak kuah pekat. Mereka makan cukup berselera. Alhamdulillah yang memberi sedap.
“Ikan laban tu, ikan sungai ke?” Adi bertanya dengan semangat semasa menghirup kopi panas.
“Labang lah,” Maidin mencelah.
Kami ketawa lagi.
“Ya… ikan raja Sungai Krian,” jelasku.
“Sedap giler,” tambah Prof Z.
“Elok kita beli banyak esok untuk bawak balik,” tuan loyar pula menyampuk.
Kami ketawa lagi.
Malam itu dalam pukul 12 malam baharu mereka kuhantar ke hotel penginapan. Puas hatiku. Lega. Syukur dan gembira yang amat.
Malam itu aku bermimpi, banyak lagi labang didaratkan di jeti-jeti di tebing Sungai Krian. Bila terjaga, kuceritakan kepada isteri, dia pun menjawab dengan ejekan, “tula kesan sebulan memikirkan ikan labang”, kami sama-sama ketawa atas katil.
Jam sudah lapan setengah pagi ketika bot yang kami sewa khas untuk memancing labang bergerak perlahan menuju ke hulu Sungai Krian. Misi mencari ikan labang. Acara ini tiada dalam pelan tetapi kerana seronok menikmati kesedapan ikan labang maka seorang kawan mencadangkan kami memancing ikan labang. Biar batal program ke Tanjung Kembang. Labang lebih sedap dari Tanjung Kembang. Bersama kami ada pemandu bot, Pak Mat. Dia mahir selok belok dan tahu juga di mana lubuk-lubuk labang.
Hampir ke pukul lima petang hanya ada enam ekor baung dan beberapa ekor udang kecil. Labang hanya ada dalam mimpi. Menangkap ikan labang bukan semudah yang dicakap. Ikan labang sangat memilih. Masa dia keluar pun tidak menentu. Memang rezeki sangatlah siapa yang memperoleh ikan labang semasa memancing.
Sesampai di hotel, kami berehat di kafe bawah hotel – minum petang dengan cucur senek dan cucur cempedak.
Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan
Kami budak baru belajar
kalau salah tolong tunjukkan.
Itulah ibarat kami bertujuh pergi memancing ikan labang. Tiada kemahiran dan pengalaman langsung, tiba-tiba ingin menangkap ikan mahal – Raja Sungai Krian!
Pagi. Hari ketiga.
“Li, kita ada cadangan ni,?”
“Apa dia?” tanyaku.
“Kita nak jumpa pegawai pertanian di sini,” Nizam sungguh-sungguh berujar.
“Ada apa?”
“Ada lah,”
Lebih sejam kami berbual di pejabat bos Jabatan Pertanian Kalakos. Rupa-rupanya si kawan seorang ni, Nizam, ingin untuk buat ‘research’ tentang ikan labang di Sungai Krian. Dia berminat untuk menjadikan ikan labang ini satu perusahaan – seperti ternakan sangkar, rasanya. Dan sangat menggembirakan, pegawai tersebut memberi sokongan padu di atas usaha tersebut. Aku dapat bayangkan, andainya rancangan itu menjadi kenyataan tentu akan ada pejabat Nizam Co. di Kalakos suatu hari nanti. Dan Nizam telah beritahu dia akan datang lagi selepas ini untuk meneruskan perbincangan serius dengan pihak-pihak yang berkenaan. Dia sangat yakin bahawa usaha memajukan industri ikan labang akan berhasil. Di Temerloh ,Pahang, dia sudah ada lima stesen tempat memelihara ikan patin di dalam sangkar. Rasanya ikan labang pun boleh dibuat begitu. Kedua-duanya adalah ikan air tawar!
Hari kelima kami bergerak ke Bintulu. Bintulu tengah musim buah. Durian melambak menyebabkan harganya sangat murah. Sepanjang perjalanan bermula dari Sibu ke Bintulu, begitu banyak gerai kecil di tepi jalan yang menjual buah-buahan. Pagi itu meronda di pasar basah di Bintulu dan terjumpa juga ikan labang.
“Ini labangkah taukey?”
“Ya, ya kitak maokkah?” taukey perempuan itu bercakap dialek Sarawak.
“Berapa sekilo kitak jual?” aku pun balas dalam dialek Sarawak, sebab aku pun Sarawakian. Haha. Kawan-kawanku hanya tersenyum bila aku bercakap dialek Sarawak.
“Nuan orang Semenanjung jang?” tiba-tiba pakcik yang jual ikan lumek di sebelah menyampuk.
“Ukai meh, aku orang Niah deh…,” lepas tu aku ketawa agak kuat.
Pakcik itu pun ketawa besar. Kawan-kawanku terpinga-pinga.
“Nemu nuan jako Iban?”
“Tauk meh mimit-mimit,” jawabku ringkas.
“Saya gurau jer pakcik, saya orang Kalakos, bawak kawan-kawan ni jalan-jalan.”
Pakcik itu pun senyum dengan rokok yang berasap di mulutnya. Gudang Garam pula tu. Huh…aku memang tidak tahan bau asap rokok!
Malam itu kami makan di Restoran Seafood di sebuah perkampungan Melayu/Melanau. Aku pesan umai mpirang dan umai bawal. Haha. Ada seorang kawan kami itu yang lepasan universiti di Jepun. Dia pun kata macam makan di Jepun pula. Kami semua ketawa.
Duduk di Utama Hotel malam itu cukup untuk menghilangkan keletihan berjalan jauh. Bayangkan dari Kalakos ke Bintulu 500 kilometer! Sebelum kami lena malam itu, Nizam menunjukkan beberapa foto yang dia ambil sepanjang berada di bandar Bintulu. Macam-macam gambar diambilnya dan yang paling dia suka ialah gambar ikan labang di pasar basah tadi. Labang Bintulu bagi aku ada sedikit liat isinya berbanding labang Kalakos. Ternyata labang Kalakos dari spesis yang lain.
Malam itu entah pukul berapa aku terlena. Mereka masih lagi bersembang tentang ulat mulong, tentang durian isu, durian pakan dan durian tembaga kampung. Dan semasa makan di restoran makanan laut itu, taukey tidak ada menyediakan masakan ikan labang. Sebabnya ialah ikan itu terlalu mahal, kecuali kalau ada yang tempah terlebih dahulu baharulah mereka akan menyediakannya.
Hari kedua di Bintulu.
Selepas menjamu selera di gerai berdekatan hotel penginapan, kami pun bertolak balik ke Kalakos. Adi pula yang bawa kereta. Dalam lebih kurang pukul lima setengah petang kami sampai dan terus singgah di gerai tepi sungai, gerai Yasin. Minum teh tarik sambil menikmati canai Mr Canai Saratok, Encik Jaafar. Alhamdulillah. Di depan kami adalah Sungai Krian yang agak tenang. Airnya keruh sepanjang musim.
“Ada buaya tak Li? Tuan loyar bertanya sambil senyum-senyum. Dia memang fobia dengan buaya.
“Ada, tapi dia tak kacau orang. Buaya baik punya,” gurauku yang menyebabkan ketawa kami pecah di situ. Syukur waktu petang begitu pelanggan hanya ada beberapa kerat sahaja.
“Jadi ikan labang tu, bila orang tangkap?” Nizam sambung cerita labang lagi.
“Entahlah,” jawab ku. “Mungkin malam kot.”
Sebelum meninggalkan gerai petang itu, aku sudah telefon Usu Man supaya simpan enam ekor ikan labang kalau ada untuk keesokan harinya. Usu Man telah janji dan dia sangat gembira. Duit masuk woi.
Selepas subuh di Masjid Jamek Kalakos pagi itu, kami terus ke gerai cari sarapan. Duduk di gerai Nek Kochon, kedai Encik Morni. Sejak dibuka gerai Nek Kochon, sangat banyak manfaatnya kepada para peniaga kecil. Dan semenjak itu Kalakos seperti berubah wajah khususnya pada waktu malam. Gerai Nek Kochon penuh dengan warga yang ingin menjamu selera di luar.
“Roti Gardenia tak ada ke kat Kalakos ni Li? Seorang kawanku orang kuat Gardenia tiba-tiba mencelah.
“Tak ada Mier,” jawabku sendu. “Gardenia tak boleh masuk Sarawak,” sambungku lagi.
“Padan pun orang Sarawak bila ke KL, selalu borong Gardenia kat airport bila balik Sarawak,” Mier sambung lagi.
Pelanggan-pelanggan yang berhampiran kami ada juga yang mendengar perbualan kami. Tapi aku banyak kenal orang Kalakos. Aku pun dah jadi penduduk Kalakos selama 30 tahun.
Di Kuching.
Ramai sudah manusia berduyun menunggu penerbangan ke destinasi masing-masing. Hari kesembilan sahabat-sahabatku pun balik ke Semenanjung setelah bercuti dan merantau di sebahagian Bumi Kenyalang. Banyak kenangan manis sepanjang mereka berada di sini. Di dalam beg bagasi mereka, telah kusimpan enam ekor labang – seekor seorang. Biar menjadi kenangan paling manis.
“Terima kasih sahabat,” Doc Z memeluk aku erat. Kemudian Mydin dan Maskak, tuan loyar yang jenaka. Kemudian Nizam, kemudian Adi dan Mier.
“Terima kasih kerana sudi datang ziarah. Datanglah lagi bila ada kesempatan.” Seperti ada air bergenangan di kelopak mataku.
Pukul 12.40pm, pesawat AK2341 meluncur membelah awan. Dan dia pun meninggalkan bandaraya Kuching menghala ke feri Triso. Hatinya puas. Syukur dan gembira. Alhamdulillah. Berkali-kali dilafaznya kalimah tersebut.