LA LIGA SEPANYOL
LA Liga semalam mengumumkan bahawa ia merancang untuk memulakan semula kempen liga Sepanyol pada Jun setelah lebih dua bulan tanpa permainan kerana wabak Covid-19.
Latihan secara individu akan dimulakan untuk pemain minggu ini setelah pemerintah negara itu meringankan langkah-langkah yang berkaitan dengan sukan.
“Kesihatan rakyat adalah yang terpenting, jadi kami mempunyai protokol komprehensif untuk menjaga kesihatan semua orang yang terlibat ketika kami berusaha untuk menghidupkan kembali La Liga,” kata presiden liga Javier Tebas dalam kenyataan itu.
“Keadaan seperti ini tidak pernah terjadi sebelum ini, tetapi kami berharap dapat kembali bermain pada bulan Jun dan menyelesaikan musim 19/20 musim panas ini,” tambahnya.
Mulai hari Selasa, pemain bola sepak profesional di Sepanyol akan menjalani ujian untuk Covid-19 dan hanya akan dibenarkan kembali ke latihan setelah keputusan negatif dihasilkan.
Seorang sumber memberitahu AFP, Real Madrid akan bertemu pada hari Selasa untuk memutuskan jadual mereka dan merancang untuk kembali berlatih minggu ini.
Saingan ibu kota Atletico Madrid di jangka akan memulakan ujian pada hari Khamis dengan kempen yang ditangguhkan sejak 12 Mac dengan baki 11 pusingan lagi.
Pada bulan April, Tebas berkata divisyen satu dan divisyen dua Sepanyol boleh bermula pada 28-29 Mei, 6-7 Jun atau 28-29 Jun dan boleh diadakan dalam stadium kosong.
Kerajaan Sepanyol terus meredakan langkah ‘lockdown’ yang berkaitan dengan penyakit pada hari Selasa yang telah meragut lebih daripada 25,400 nyawa menurut angka rasmi.
Menurut angka La Liga bola sepak profesional menyumbang 1.37% daripada KDNK negara dan mencipta 185,000 pekerjaan. – AFP