
KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan memperuntukkan sebahagian daripada modal mereka untuk menyokong syarikat yang memaparkan komitmen tinggi terhadap penciptaan nilai dan melaksanakan prinsip ‘MY Value Up.’
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peruntukan itu akan memastikan syarikat yang melaksanakan tadbir urus kukuh, peruntukan modal lebih baik dan standard ketelusan yang lebih tinggi akan diiktiraf bukan sahaja oleh pasaran, malah oleh pelabur institusi terbesar di Malaysia.
“Ini adalah isyarat penting. Malaysia mahu pasaran modal yang bukan sahaja besar, malah lebih baik — yang memberi ganjaran kepada disiplin, kebertanggungjawaban dan penciptaan nilai jangka panjang.
“Kami mahu syarikat Malaysia ditadbir dengan lebih baik, dinilai lebih tinggi dan lebih bersedia untuk bersaing di peringkat serantau dan global,” katanya dalam ucaptama di Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026 di sini hari ini.
Program ‘MY Value Up’ adalah inisiatif kerjasama yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia untuk meningkatkan penilaian, ketelusan dan daya tarikan pasaran syarikat tersenarai awam di Malaysia.
Program berkenaan menggalakkan kalangan syarikat terkemuka untuk menyampaikan strategi pertumbuhan mereka dengan lebih jelas serta menilai prestasi mereka dengan syarikat yang setara di peringkat global.
Ahmad Zahid berkata kerajaan juga mahu pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelajar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), usahawan, belia, komuniti luar bandar dan pusat pertumbuhan wilayah.
“Pasaran modal yang kukuh bukan sahaja perlu menyokong syarikat besar malah ekosistem perusahaan, inovasi dan peluang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata fasa selanjutnya pembangunan pasaran modal Malaysia perlu berteraskan bukan sahaja saiz, malah kualiti, memandangkan pelabur kini semakin menuntut tadbir urus lebih kukuh, peruntukan modal lebih baik dan hala tuju strategik yang lebih jelas.
“Ya, keuntungan itu penting…tetapi dalam pasaran hari ini, syarikat juga mesti boleh dipercayai, mampan dan bertanggungjawab.
“Ini adalah tujuan MY Value Up. Prinsip ini menggalakkan syarikat untuk melihat di luar daripada prestasi suku tahunan, menyampaikan strategi jangka panjang mereka dengan lebih jelas serta menunjukkan pendekatan merancang untuk membina nilai yang berkekalan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata pasaran modal Malaysia akan menjadi teras kepada fasa pertumbuhan negara yang seterusnya, menghubungkan hasrat dengan peluang di samping membolehkan usahawan berkembang, syarikat berinovasi dan pelabur turut terlibat dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata saiz pasaran modal Malaysia telah mencapai RM4.3 trilion pada 2025, iaitu lebih dua kali ganda daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
Dana yang diterima meningkat kepada RM187.7 bilion manakala 60 tawaran awam permulaan (IPO) telah disenaraikan. Pasaran modal Islam turut berkembang kepada RM2.7 trilion. – Bernama