

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kini dapat berkongsi data secara lebih tepat dan selamat membabitkan Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Penggajian serta pas sah lain yang membenarkan pekerja asing bekerja di negara ini.
Perkongsian itu dicapai melalui integrasi sistem hasil pemeteraian nota kerjasama strategik antara kedua-dua pihak bagi menyokong pelaksanaan inisiatif caruman mandatori KWSP untuk pekerja bukan warganegara.
KWSP dalam kenyataan memaklumkan sesi menandatangani nota kerjasama itu diadakan semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.
“Kerjasama ini antaranya dapat meningkatkan keupayaan penguatkuasaan seperti pengukuhan sistem dan aliran data yang membolehkan proses verifikasi dilaksanakan lebih cekap terutama dalam fasa pelaksanaan caruman mandatori KWSP yang berkuat kuasa pada 1 Oktober lepas,” menurut kenyataan itu.
KWSP memaklumkan setakat ini, sebanyak 1.3 juta pekerja telah berjaya mencarum melalui kira-kira 60,000 majikan, dan data itu menunjukkan permulaan positif dalam kalangan majikan yang patuh serta bertanggungjawab.
“Bagaimanapun, masih terdapat majikan yang gagal mematuhi keperluan caruman mandatori sekali gus menjejaskan perlindungan sosial pekerja bukan warganegara mereka,” menurut kenyataan itu.
Menurut KWSP, majikan yang belum melaksanakan caruman diwajibkan berbuat demikian bagi mengelakkan penalti dan tindakan undang-undang.
Menerusi kenyataan sama, Ketua Pegawai Operasi KWSP Sazaliza Zainuddin berkata nota kerjasama itu dapat meningkatkan keupayaan KWSP dan JIM dalam mengesahkan status pekerja, memperkukuh ketelusan serta mempercepat pendaftaran pekerja bukan warganegara.
“Kerjasama ini menandakan satu langkah penting ke arah memastikan dasar negara dilaksanakan dengan lebih berdisiplin, berintegriti dan cemerlang dari segi operasi sekali gus memberikan manfaat jangka panjang kepada majikan, pekerja serta keseluruhan ekosistem penggajian,” katanya.- Bernama