KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) segera mengagihkan Kenyalang Gold Card (KGC) kepada warga emas di negeri ini.
Menterinya, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata berlaku kelewatan dalam proses agihan berikutan pandemik Covid-19 yang mula menular awal Mac lalu hingga kini.
Fatimah mendedahkan statistik merekodkan setakat 31 Julai lalu sebanyak 161,761 permohonan telah diterima secara manual dan atas talian.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 100,903 kad telah dicetak,” katanya ia merangkumi sebanyak 16,964 kad telah diagih menerusi Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB), Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Justeru itu, Fatimah menegaskan kementeriannya kini optimis mempercepatkan proses kelulusan agar pengagihan kad dapat dilaksanakan untuk dimanfaatkan kepada golongan sasar.
Menurut Fatimah KGC disediakan oleh Kerajaan Sarawak bagi membela kebajikan warga emas di Sarawak.
“Dalam masa yang sama kita mahu mewujudkan masyarakat yang penyanyang dan menyumbang balik kepada masyarakat,” ujarnya manfaat KGC adalah berbentuk diskaun atau yuran percuma untuk barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan, pihak swasta dan pusat komersial dan menjadi rakan strategik.
Terdahulu, pada majlis semalam Fatimah mengagihkan 3,595 KGC melibatkan 14 Dewan Undangan Negeri (DUN) di sekitar Kuching untuk diagihkan kepada wakil penerima bagi kawasan masing-masing.
Dalam angka itu, DUN Tasik Biru sebagai penerima terbanyak iaitu 438 kad diikuti Tupong (376), Pending (369), Pantai Damai (304), Samariang (305), Batu Lintang (305), Demak Laut (304), Padungan (290), Kota Sentosa (258), Satok (226), Batu Kitang (160), Batu Kawa (159), Opar (79) dan Tanjong Datu (20).