
KUCHING: Lembaga Air Kuching (LAK) mengambil maklum mengenai kebocoran yang sedang berlaku melibatkan paip pam utama berdiameter 1400mm di Jalan Highfield Light Industrial–Jalan Batu Kawa.
Menurut kenyataan LAK, penilaian tapak secara menyeluruh telah pun diselesaikan, termasuk pemetaan terperinci laluan paip serta pengecaman kemudahan bawah tanah utama di kawasan sekitar.
“Terdapat paip utama yang kritikal, yang telah beroperasi selama lebih 30 tahun, membekalkan kira-kira 170 juta liter sehari (MLD), iaitu sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran air terawat Kuching sebanyak 778 MLD.
“Ia membekalkan air ke kawasan utama seperti Matang Jaya, Petra Jaya, Demak Laut, dan Semariang, termasuk zon-zon di bawah bidang kuasa JBALB serta komuniti sekitar,” jelas LAK dalam satu kenyataan dikeluarkan, hari ini.
Tambahnya, kerja-kerja pembaikan awal telah dimulakan pada 18 April 2025. Namun, kerja tersebut terpaksa dihentikan akibat ketidakserasian antara bahan yang dibekalkan dengan infrastruktur lama sedia ada.
Katanya, bagi mengelakkan kelewatan berpanjangan, LAK telah mengambil langkah proaktif dengan membuat kelengkapan yang diperlukan secara tempatan, sekali gus mengurangkan masa menunggu yang biasanya lebih lama jika diperoleh dari Semenanjung Malaysia.
“Bahan-bahan yang diperlukan kini telah siap, percubaan kedua untuk kerja pembaikan dijadualkan bermula pada 9.00 malam, 23 Mei 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 7.00 pagi, 24 Mei 2025,” jelasnya.
Katanya, akibat isu yang sedang berlaku serta kerja pembaikan yang akan dilaksanakan, para pengguna di kawasan berikut dijangka akan mengalami tekanan air rendah atau gangguan bekalan air iaitu di Jalan Matang (dari Kubah Ria ke Batu 9 Jalan Matang), Taman Sri Harmoni, Jalan Sungai Tengah, Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhamad Salahudin, Jalan Demak, Jalan Bako, Muara Tebas dan kawasan sekitar Petra Jaya, termasuk kawasan di bawah bidang kuasa JBALB.
“Sepanjang tempoh pemulihan, pengguna mungkin akan mengalami tekanan air rendah, kehadiran udara dalam paip (airlock), dan/atau air yang berwarna keruh (kotor).
“Bagi mengurangkan kesan gangguan, lori tangki air LAK akan digerakkan bagi membekalkan air alternatif ke kawasan-kawasan yang terjejas. Pengguna dinasihatkan agar menyimpan bekalan air yang mencukupi lebih awal untuk tempoh gangguan tersebut,” katanya.
LAK tetap komited untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin dengan gangguan yang minimum.
“Kami akan terus memantau situasi dengan rapi dan menyelaras semua tindakan yang perlu bagi memastikan sistem bekalan air pulih sepenuhnya.
Kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kesabaran dan kefahaman yang diberikan,” katanya.