
SIMANGGANG: Penubuhan dan pengukuhan Baitulmal Sarawak sejak 1985, telah membolehkan kutipan zakat negeri terus meningkat dari tahun ke tahun hasil sumbangan entiti komersial Islam yang semakin berkembang, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata peningkatan kutipan zakat khususnya zakat perniagaan, membolehkan kerajaan negeri melabur dalam sektor tertentu yang memberi manfaat kepada umat Islam, di samping menyokong pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat secara menyeluruh.
Abang Johari berkata pendekatan itu mencerminkan pengamalan semangat zakat serta keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat, sekali gus menjadi asas kepada pembentukan sebuah kerajaan yang adil kepada semua tanpa mengira latar belakang agama.
“Sebab itulah kita perlu menubuhkan kerajaan yang adil kepada semua kerana menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga masyarakat Islam dan bukan Islam. Sarawak merupakan satu-satunya negeri mempunyai Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menyalurkan bantuan kepada bukan Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Islam Sri Aman, hari ini.

Abang Johari berkata pendekatan itu berpandukan Piagam Madinah, yang menekankan prinsip keadilan Nabi Muhammad SAW dalam mentadbir masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Saya selaku pemimpin bertanggungjawab berlaku adil kepada semua. Sebab itu kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM100 juta kepada UNIFOR dan tahun ini ditambah RM10 juta lagi menjadikan keseluruhan RM110 juta bagi menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk dalam bidang pendidikan,” katanya.
Menurut beliau, peruntukan itu turut memberi manfaat kepada institusi pendidikan seperti sekolah mubaligh dan sekolah Cina di Sarawak, yang turut dihadiri pelajar Islam dan Bumiputera.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dan tetamu kehormat lain.
-Bernama