
KUCHING: Sarawak optimis merealisasikan sasaran lima juta pelancong tahun ini selepas merekodkan prestasi memberangsangkan dalam sektor pelancongan dengan kutipan resit melebihi RM1 bilion setiap bulan sejak Januari.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu bukan sahaja melonjakkan industri pelancongan negeri, malah turut memberi limpahan besar kepada sektor hospitaliti termasuk hotel, restoran dan perkhidmatan sokongan.
“Buat pertama kali dalam sejarah, selama lapan bulan berturut-turut, Sarawak berjaya mencatatkan resit pelancongan melebihi RM1 bilion setiap bulan.
“Walaupun jumlah kehadiran lima juta pelancong masih belum dicapai, saya yakin ia boleh direalisasikan menjelang akhir tahun ini dengan sokongan pelbagai acara antarabangsa dan sukan yang dianjurkan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Lions Club Kuching yang turut disertai delegasi antarabangsa dari China, Indonesia, Jepun, Singapura, Thailand dan Filipina.
Abdul Karim menegaskan bahawa program sebegini bukan sahaja memperkukuh jaringan sukarelawan antarabangsa, malah memberi kesan positif kepada ekonomi negeri melalui limpahan pelancongan.
Selain sektor pelancongan, beliau turut menggariskan persediaan Sarawak sebagai tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 dengan menaik taraf pelbagai kompleks sukan, khususnya di Kuching, yang bakal menempatkan lebih separuh daripada acara yang dipertandingkan.
“Dengan adanya kemudahan bertaraf antarabangsa serta kerjasama padu pelbagai pihak, Sarawak yakin mampu muncul sebagai hab sukan utama negara,” tegasnya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada Lions Club International atas usaha berterusan membantu masyarakat dan menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong inisiatif kebajikan yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
Oleh Adele Rissa