
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak berjaya mengutip RM19.55 bilion hasil cukai jualan dari 2019 hingga 2024, membuktikan kejayaan strategi ekonomi di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kejayaan ini adalah hasil keberanian kerajaan negeri dalam memperkenalkan dasar baharu, termasuk melaksanakan cukai jualan ke atas produk minyak dan gas.
“Langkah pertama yang diambil oleh Premier Sarawak adalah meluluskan rang undang-undang bagi membolehkan negeri ini mengutip cukai jualan terhadap produk minyak dan gas serta beberapa produk lain.
“Hasil daripada langkah ini, dari 2019 hingga 2024, Sarawak berjaya mengutip RM19.55 bilion, yang kini menjadi salah satu sumber utama pendapatan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Ke-16 Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita PBB Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Selain itu, Abang Johari turut menubuhkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) serta memperkenalkan mekanisme pembiayaan alternatif bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur mega.
Dengan pembiayaan alternatif daripada DBOS, kerajaan Sarawak berjaya melaksanakan beberapa projek pembangunan utama yang memberi manfaat kepada lebih dua juta rakyat negeri ini.
“Antara projek besar yang telah dilaksanakan ialah pembinaan Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua yang menelan belanja RM11 bilion.
“Selain itu, sebanyak 15 jambatan telah dibina dengan kos keseluruhan RM5.9 bilion
“Tanpa DBOS, projek seperti pembinaan Jambatan Muara Lassa tidak dapat direalisasikan,” katanya.
Katanya, bagi memperkasakan kemudahan asas luar bandar, kerajaan Sarawak turut melaksanakan projek grid bekalan air di kawasan terpencil dengan peruntukan RM4 bilion, manakala skim elektrik luar bandar pula melibatkan kos RM2.4 bilion.
Oleh Mohd Neenatul Aizal