MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar pada pelancaran Platform Digital Mymall semalam. • Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan peningkatan usahawan sebanyak 20 peratus dengan penggabungan empat platform e-dagang sedia ada di bawah kementerian tersebut melalui pelaksanaan platform digital MyMall.
Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini terdapat 4,000 usahawan tempatan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penjaja berdaftar di bawah kementeriannya dan menggunakan keempat-empat platform e-dagang berkenaan.
Katanya, empat platform e-dagang berkenaan ialah ODELA oleh SME Bank; Pybli oleh Perbadanan Nasional Bhd (Pernas); Angsana Virtual Mall oleh UDA Holdings Berhad (UDA). Selain itu, KUSKOP melalui SME Corporation Malaysia (SME Corp) turut bekerjasama dengan WarongKu yang dimiliki oleh syarikat Idea Creative Technology Sdn Bhd (ICTSB).
“MyMall menggabungkan empat platform e-dagang iaitu ODELA, Pybli, Angsana Virtual Mall dan WarongKu. Melalui penggabungan tersebut, pengguna yang terdiri daripada usahawan dan pembeli akan lebih mudah untuk mencapai perkhidmatan e-dagang di bawah KUSKOP.
“Penggabungan ini bakal mewujudkan pasaran lebih luas kepada produk usahawan tempatan yang terlibat serta menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Platform Digital MyMall di sebuah hotel, di sini semalam.
Noh berkata, pembangunan platform digital MyMall akan dilaksanakan secara berperingkat melalui empat fasa yang dijangka siap selewat-lewatnya suku pertama 2023.
Beliau berkata, fasa pertama bermula semalam melibatkan integrasi awal bagi keempat-empat platform berkenaan.
“Fasa berikutnya akan menyaksikan platform ditambah baik sebagai pusat maklumat kepada usahawan untuk mendapatkan informasi berhubung pembiayaan, latihan atau pembangunan kapasiti, pemasaran, serta pelaksanaan ujian psikometrik keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan menyelaraskan kadar caj minimum kepada usahawan dan pembeli tanpa kewujudan caj tersembunyi. – Bernama