Kursus belajar betenun perkasa seni warisan, libatkan 32 peserta dari Saratok, Roban

Facebook
WhatsApp
FRIDAY Belik hadir menyaksikan majlis tamat belajar betenun yang berlangsung di Dewan Rumah Dayak Saratok, semalam. Foto ADUN Krian

SARATOK: Seramai 32 peserta dari sekitar Saratok dan Roban berjaya menamatkan Kursus Belajar Betenun yang berlangsung selama tiga bulan di Dewan Rumah Dayak Saratok, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata program berkenaan merupakan satu usaha penting dalam memperkasa kemahiran tradisional, khususnya seni betenun, dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurutnya, kursus berkenaan dianjurkan oleh Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Saratok dengan kerjasama Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Saratok dan mendapat sambutan daripada peserta dari pelbagai kawasan di Saratok dan Roban.

“Saya telah berkesempatan hadir dan menyaksikan majlis tamat belajar betenun yang berlangsung di Dewan Rumah Dayak Saratok.

“Program pembelajaran selama tiga bulan ini melibatkan seramai 32 peserta dari seluruh kawasan Saratok dan Roban,” katanya.

KENANGAN…Peserta Kursus Belajar Betenun bergambar bersama Friday Belik dan tetamu jemputan selepas majlis tamat kursus di Dewan Rumah Dayak Saratok. Foto ADUN Krian

Menurutnya, pelaksanaan kursus itu turut didukung oleh dua tenaga pengajar berpengalaman yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang betenun.

Beliau berkata, kedua-dua pengajar berkenaan ialah Connie Daud dan Garan dari Beratong, Roban, yang membimbing para peserta sepanjang tempoh latihan.

Friday berkata, kemahiran betenun bukan sahaja wajar dipelihara sebagai warisan budaya, malah berpotensi dikembangkan sebagai kemahiran ekonomi dan sumber pendapatan kepada masyarakat sekiranya diusahakan secara berterusan.

Beliau berharap peserta yang telah menamatkan kursus berkenaan dapat terus mengembangkan kemahiran yang diperoleh serta menjadi pemangkin kepada usaha memelihara seni warisan betenun untuk generasi akan datang.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi SDNU Saratok Jeti Kumpai Endawie, Pengerusi SIDS Saratok Sita Ingka, ketua-ketua rumah panjang, para kaunselor serta wakil masyarakat setempat.

Oleh Adi Safarman