Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Kurikulum baharu prasekolah tumpu enam bidang utama – Fadhlina
  • PENDIDIKAN

Kurikulum baharu prasekolah tumpu enam bidang utama – Fadhlina

Utusan Sarawak 2 days ago
FOTO Facebook Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR: Kurikulum baharu prasekolah yang mula dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun ini akan menumpukan pembelajaran anak-anak kepada enam bidang utama, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata enam tumpuan utama berkenaan ialah sosioemosi; fizikal dan kesejahteraan diri; bahasa dan literasi; kerohanian, nilai dan kewarganegaraan; kreativiti dan estetika; serta kognitif.

Fadhlina berkata bidang sosioemosi memberi penekanan kepada proses untuk mengembangkan keupayaan anak-anak bagi mengenal dan mengurus emosi sendiri serta keupayaan membina hubungan diri dengan orang lain dan persekitaran.

“Bagi bidang fizikal dan kesejahteraan diri, penekanan diberi kepada kesedaran mengenai kesihatan, merangkumi pemakanan sihat, penjagaan kebersihan dan keselamatan.

Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) juga diberi perhatian,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurut beliau, bidang bahasa dan literasi pula memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran komunikasi, di samping pendedahan kepada asas literasi dan bahasa serta usaha memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau menjelaskan bidang kerohanian, nilai dan kewarganegaraan terbahagi kepada tiga subbidang, iaitu pendidikan Islam, pendidikan moral dan pendidikan kewarganegaraan.

“Dalam subbidang pendidikan Islam, kanak-kanak beragama Islam akan dididik mengenai pengetahuan asas, sikap dan nilai serta amalan ajaran Islam dalam kehidupan seharian. Mereka juga akan mempelajari asas tulisan Jawi,” kata Fadhlina.

Beliau berkata subbidang pendidikan moral pula memberi tumpuan kepada pembentukan nilai asas seperti kasih sayang, kejujuran, hormat dan kerajinan melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan bagi mengembangkan kesedaran moral dan tingkah laku positif.

Bagi subbidang pendidikan kewarganegaraan, katanya, ia bertujuan memupuk kesedaran kanak-kanak terhadap hak dan tanggungjawab sebagai warganegara, selain menanam semangat patriotisme serta keupayaan menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan komuniti.

Sementara itu, dalam bidang kreativiti dan estetika, Fadhlina berkata kanak-kanak diberi peluang untuk meneroka dan menghargai keindahan persekitaran, di samping mengembangkan daya imaginasi dan kreativiti melalui seni visual, muzik, gerakan dan drama.

“Bidang kognitif pula memberi pendedahan kepada kanak-kanak untuk mengembangkan sikap ingin tahu dan minat meneroka dunia di sekeliling. Mereka digalakkan berfikir secara sistematik, berinteraksi serta berkongsi maklumat bagi menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau berharap kurikulum baharu berkenaan dapat melahirkan generasi awal yang holistik, seimbang dan berdaya saing di peringkat global. – Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Uggah cadang tubuh jawatankuasa pemikir perkasa pelajar luar bandar
Next: Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 diagih seawal 11 Januari ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.