Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Kurier bawa cecair ganja RM586,500, disyaki laluan sindiket
  • JENAYAH

Kurier bawa cecair ganja RM586,500, disyaki laluan sindiket

Utusan Sarawak 7 hours ago
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Mohd Radzi, bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan, hari ini. Foto Adele Rissa 

PADAWAN: 690 kartrij cecair disyaki ganja bernilai RM586,500 dirampas dalam satu operasi polis di Padawan, sekali gus membongkar taktik sindiket yang menggunakan perkhidmatan kurier dan alamat palsu sejak September lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Mohd Radzi berkata, tangkapan dilakukan pada 5 Disember lalu sekitar 9.00 pagi di kawasan tempat letak kereta sebuah pusat perkhidmatan kurier di Jalan Kong Ping, di sini.

Menurut beliau, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun bersama sebuah kotak yang mengandungi 690 kartrij cecair vape disyaki mengandungi ganja. Turut disita ialah wang tunai RM470 dan sebuah motosikal Yamaha.

Sebahagian daripada 690 kartrij vape disyaki mengandungi ganja bersama wang tunai dan sebuah motosikal yang dirampas dalam operasi di sebuah pusat perkhidmatan kurier di Jalan Kong Ping, Padawan. Foto Adele Rissa 

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM586,500 dengan setiap kartrij mengandungi 2.5 ml cecair. Jika dipasarkan, jumlah itu boleh digunakan sehingga 3,450 kali,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan, di sini hari ini. 

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan suspek berperanan sebagai pengambil dan penghantar bungkusan bagi pihak sindiket yang dipercayai beroperasi dari Semenanjung Malaysia. 

Suspek menerima upah RM200 bagi setiap bungkusan yang diambil dari pusat kurier serta RM20 bagi setiap kartrij yang dihantar kepada pelanggan di sekitar Kuching dan Padawan.

Kartrij vape yang disyaki mengandungi ganja dengan anggaran nilai RM450 setiap satu, dirampas dalam serbuan polis di Padawan baru-baru ini. Foto Adele Rissa

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun beliau mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah. Suspek dipercayai aktif sejak September dan bahan terlarang ini sudah berada di pasaran sejak awal tahun,” jelasnya.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 7 hingga 13 Disember untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Mohd Irwan berkata pihaknya masih menunggu keputusan makmal daripada Jabatan Kimia untuk mengesahkan kandungan setiap kartrij, namun buat masa ini ia disyaki mengandungi ganja bernilai RM450 setiap satu.

Beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama yang membawa kepada kejayaan rampasan besar ini dan menegaskan komitmen PDRM memerangi penyalahgunaan dadah.

“Saya menasihatkan masyarakat khususnya di Daerah Padawan agar tidak mudah terpengaruh dengan dadah moden yang hadir dalam bentuk minuman atau vape. Bahan ini sangat berbahaya dan boleh menyebabkan individu hilang kawalan diri. Pencegahan jauh lebih mudah daripada pemulihan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah boleh menghubungi Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-5929211.

Oleh Adele Rissa

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Dua lelaki warga emas ditahan berkaitan judi ekor
Next: 13 lelaki ditahan dalam operasi dadah di Bau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.