KUCHING: Industri radio Sarawak secara rasmi membuka satu lagi lembaran baharu dengan kehadiran stesen radio KUPIKUPI FM SARAWAK, hari ini.
Berslogankan ‘Sama Dirik Pok’ menerajui misi perpaduan Borneo, radio Sarawak itu akan ke udara menerusi frekuensi 92.5 Mhz.
Menerusi corong radio siaran frekuensi yang berhasrat menjadi sebahagian daripada keluarga ‘Radio Orang Kita’ itu akan mendendangkan masyarakat setempat dengan lagu-lagu pilihan muzik tempatan, perkongsian informasi terkini khasnya melibatkan kawasan di Sarawak selain pencetus inspirasi khasnya buat para pendengar.
Beridentitikan tempatan, KUPIKUPI FM SARAWAK dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, KUPIKUPI FM SARAWAK juga menjanjikan kepada pendengar satu pengalaman mengujakan yang berlandaskan lanskap budaya penuh bertenaga di Sarawak.
Menurut Pengarah dan Pengasas Bersama OOGA X, Fui K.Soong, KUPIKUPI FM SARAWAK diwujudkan dengan satu komitmen tinggi dan semangat untuk menyajikan kepada orang ramai mengenai kekayaan warisan budaya, tradisi serta bakat-bakat tempatan di Sarawak.
“Stesen radio ini juga dibina sebagai sebuah platform jangkauan meluas bagi menyerlahkan lagi bakat artis, pemuzik dan ‘pencerita’ dari Borneo khususnya Sarawak, seterusnya mempromosikan sumbangan hebat mereka di rantau ini,” katanya pada majlis pelancaran rasmi KUPIKUPI FM Sarawak.
Apa yang akan dihidangkan kepada para pendengar sudah pastinya lagu-lagu tempatan terkini, lagu ‘evergreen’ yang klasik dan lagu hits antarabangsa.
Ini bagi memastikan para pendengar menikmati serta melayani muzik dengan satu keterujaan sehingga membuatkan mereka menari dengan iringan rentak unik Sarawak.
“KUPIKUPI FM SARAWAK juga bukan sekadar stesen muzik, ia juga pencetus inpirasi! Hero-hero tempatan akan diketengahkan, untuk mereka berkongsi cerita luar biasa mereka, seterusya mencetus motivasi dan kebanggaan dalam kalangan pendengar.
“Sabagai tambahan, KUPIKUPI FM SARAWAK juga komited untuk menyampaikan kepada anda berita-berita terkini bagi memastikan pendengar tidak ketinggalan dengan apa yang berlaku di sekitar mereka,” katanya.
Dedikasi KUPIKUPI FM SARAWAK juga adalah untuk memberikan para pendengar maklumat berkualiti tinggi dan sudah pasti stesen ini mahu menjadi sebagai sumber berita dan hiburan yang boleh dipercayai.
Sebagai salah satu kuasa media baharu, KUPIKUPI FM turut berhasrat untuk mewujudkan satu komuniti yang kukuh di Kuching dengan menyokong perniagaan, acara dan pertubuhan berkaitan.
“Stesen ini akan memainkan peranan aktif dalam memupuk persekitaran yang berkembang maju yang meraikan kepelbagaian warisan budaya Borneo. Mari sama-sama sertai kemeriahan ini dan menjadi sebahagian daripada KUPIKUPI FM SARAWAK,” katanya lagi.
Dengan ditemani penyampai berkarisma, stesen ini akan membawa pendengar ke satu ‘dunia’ yang penuh keterujaan dan warna-warni, dunia penuh hiburan, inspirasi dan perpaduan.
Oleh NUR AIN OTSMAN