Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kuota BUDI95 kekal, kerajaan pantau situasi Asia Barat sebelum pertimbang kembalikan 300 liter
  • NASIONAL

Kuota BUDI95 kekal, kerajaan pantau situasi Asia Barat sebelum pertimbang kembalikan 300 liter

Utusan Sarawak 6 hours ago
KUOTA BUDI95 kekal, kerajaan pantau situasi Asia Barat sebelum pertimbang kembalikan 300 liter. Foto Bernama.

PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus memantau perkembangan situasi di Asia Barat dan kesannya terhadap harga minyak global sebelum mempertimbangkan semula kuota bulanan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang kini ditetapkan pada kadar 200 liter.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata buat masa ini, masih terlalu awal untuk kerajaan membuat sebarang keputusan berhubung kemungkinan mengembalikan kuota kepada 300 liter memandangkan perkembangan gencatan senjata yang diumumkan baru-baru ini memerlukan masa untuk menilai keberkesanan dan impaknya terhadap pasaran minyak.

“Saya rasa kalau kita tengok perkembangannya baru lagi, mengenai gencatan senjata sementara yang baharu dimeterai pada Jumaat lepas. 

“Ini akan mengambil masa 60 hari untuk mereka (Amerika Syarikat dan Iran) terus berbincang. Jadi, kita kena tunggu dan lihat sama ada ini boleh kekal dan implikasi keseluruhannya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, apa yang penting adalah kerajaan sentiasa berusaha memastikan rakyat terus dilindungi.

“Jadi, yang pentingnya, apa yang kami usahakan dalam kerajaan ini adalah untuk memastikan rakyat terus dilindungi, iaitu dari segi apa yang kami buat di bawah BUDI95. Walaupun kuota turun daripada 300 liter kepada 200 liter tetapi implikasinya terkawal,” katanya.

Amir Hamzah berkata hampir 80 peratus penerima subsidi BUDI95 didapati menggunakan kurang daripada 200 liter petrol setiap bulan.

“Kami juga menyarankan mereka yang boleh supaya mengurangkan (penggunaan petrol). Sebab itu ada usaha seperti bekerja dari rumah untuk mengurangkan penggunaan petrol yang ada dan kami juga menyarankan penggunaan secara berhemat agar kita dapat mengurangkan tekanan yang ada,” katanya.

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis memorandum persefahaman (MoU) perjanjian damai antara Amerika Syarikat dengan Iran mampu membuka jalan ke arah penamatan konflik serta menjamin keamanan di Asia Barat.

Anwar menyuarakan keyakinan terhadap perkembangan positif dalam rundingan berkenaan, walaupun persetujuan muktamad antara kedua-dua negara itu perlu dicapai dalam tempoh maksimum 60 hari.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian menandatangani perjanjian awal yang mengandungi dokumen 14 perkara bagi menamatkan konflik antara kedua-dua negara. – Bernama 

Continue Reading

Previous: Malaysia Airlines, Singapore Airlines lancar produk tambang bersama
Next: Kerajaan dijangka jimat RM2 bilion setahun menerusi BUDI MADANI Diesel – Amir Hamzah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.