
SIBU: Kunjungan sempena Tahun Baharu Cina (TBC) bukan sekadar amalan tahunan, sebaliknya menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta memahami isu dan perkembangan semasa di peringkat akar umbi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata, kunjungan tersebut yang menjadi rutin setiap musim perayaan memberi ruang untuk beliau berinteraksi secara lebih dekat dengan saudara-mara, rakan serta penduduk setempat dalam suasana santai dan mesra.
“Dalam tempoh dua hari lalu, saya telah mengunjungi 10 rumah untuk menyampaikan ucapan Tahun Baharu serta bertanya khabar dalam suasana yang penuh kehangatan.
“Perbualan dalam suasana sederhana di rumah penduduk sering kali membuka perspektif dan realiti yang tidak diperoleh dalam mesyuarat rasmi.
“Ia membantu saya memahami kebimbangan dan keperluan harian rakyat dengan lebih jelas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pendekatan turun padang itu mengingatkan bahawa setiap dasar dan perancangan yang dirangka perlu memberi impak sebenar kepada masyarakat.
“Kunjungan sempena perayaan bukan sekadar tradisi, malah berperanan memastikan beliau sentiasa dekat dan berpaksikan kepada komuniti setempat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tiong menegaskan bahawa Sarawak terkenal dengan keharmonian masyarakat majmuk yang dibina atas dasar saling menghormati dan kepercayaan.
“Perpaduan yang dibina sekian lama ini mesti dipelihara. Isu tidak wajar dipolitikkan secara berlebihan sehingga menjejaskan kestabilan sosial demi kepentingan politik jangka pendek.
“Tanpa mengira fahaman parti, kepentingan rakyat mesti diutamakan. Elakkan mewujudkan salah faham antara komuniti atau perbezaan pandangan politik, dan kekalkan masyarakat yang rasional serta inklusif,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa perpaduan dan kerjasama dalam parti merupakan asas kepada kemajuan yang stabil, dengan keutamaan diberikan kepada usaha membela kebajikan rakyat serta memacu pembangunan dan peningkatan taraf hidup.
Oleh Tarani Lanting