
PETRA JAYA: Kunjungan ke Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertujuan membuka minda masyarakat Penan mengenai pembangunan dan kemajuan bandar.
Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda, ketika ditemui Utusan Sarawak, berkata antara cabaran besar dalam membawa pembangunan ke kawasan masyarakat Penan ialah pengaruh Organisasi Bukan Kerajaan (NGO).
“NGO menghasut masyarakat supaya menolak pembangunan dengan alasan tanah mereka akan terjejas.
“Kami mahu mereka melihat sendiri kemajuan yang telah dikecapi di Kuching supaya dapat memahami kepentingan pembangunan di kawasan mereka.
“Jika masyarakat Penan bekerjasama dengan kerajaan, kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik dan air dapat dibawa ke kampung,” kata Ezra Uda yang menyertai kunjungan ke Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Bagi Daud Sedin, 51, berbangsa Penan yang mengikuti rombongan tersebut pula, meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dapat sampai ke Kuching setelah puluhan tahun menanti peluang tersebut.
“Kami sangat gembira kerana selama ini tinggal jauh di pedalaman tanpa jalan raya yang baik.
“Kami berasa kecewa terhadap NGO yang sering memberi janji kosong kepada masyarakat Penan tanpa sebarang tindakan.
“Selama 30 tahun kami menunggu, mereka kata akan membantu kami membina jalan, rumah, dan memberi makanan, tetapi akhirnya mereka hilang begitu saja,” ungkapnya kecewa.
Tambahnya lagi, NGO hanya muncul sekali-sekala mengadakan perjumpaan dan memberikan harapan palsu tanpa sebarang tindakan konkrit.
“Mereka datang, buat satu mesyuarat, panggil kami semua, cakap jangan susah, kami akan tolong, tapi hari ini kami tetap susah.
“Tanpa bantuan kerajaan, masyarakat Penan akan terus hidup dalam kesukaran kerana tiada akses kepada kemudahan asas.
“Kalau kerajaan tidak bantu, bagaimana kami mahu pergi berubat? Yang muda boleh berjalan jauh, tetapi bagaimana dengan yang tua? Yang ada duit boleh pergi, yang tiada duit macam mana?” luahnya.
Daud turut menyatakan tanpa jalan raya yang baik, kehidupan mereka tetap sukar kerana segala urusan termasuk sekolah dan mencari rezeki memerlukan perjalanan yang jauh.
“Bila ada jalan, ada perniagaan, ada kerajaan, baru hidup kami lebih baik,” katanya dengan penuh harapan.

Salah seorang wakil dari rombongan tersebut, Alan Usat, turut berkongsi keterujaannya melihat pembangunan di Kuching yang jauh lebih besar daripada yang dibayangkannya.
“Saya sangka Miri yang paling besar, tapi bila sampai di sini, Kuching lebih besar maju, dan ramai orang.
“Saya berterima kasih kepada Premier Sarawak atas peluang yang diberikan kepada masyarakat Penan untuk merasai pengalaman ini,” ujarnya.
Melalui lawatan itu, mereka berharap dapat membina keyakinan bahawa kerajaan tetap menjadi pihak yang boleh diharapkan untuk membawa perubahan.
Oleh Masrin Affirah