
KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dato’ Mohd Shafie Harun, dalam satu pertemuan yang berlangsung di Bilik Tetamu Pejabat Pesuruhjaya Polis Sarawak, pagi tadi.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC, khususnya dalam aspek penguatkuasaan undang-undang berkaitan komunikasi, multimedia serta keselamatan siber di negeri Sarawak.

Pertemuan ini turut menjadi platform perbincangan mengenai isu-isu semasa, cabaran dalam penguatkuasaan undang-undang, serta usaha dan langkah penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan operasi bersama antara kedua-dua agensi demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak, Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak, SAC Rizal Abd Rahman Sidek, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Lim San Aik, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, ACP Maria Rasid serta delegasi daripada MCMC.