
BINTANGOR: Tradisi kunjung-mengunjung Aidilfitri kekal relevan sebagai platform memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing mengadakan kunjungan Aidilfitri ke beberapa kampung di sini pada semalam.
Beliau bersama isterinya, Datin Kueh Nai Fun meluangkan masa menyantuni penduduk setempat dalam suasana penuh mesra dan harmoni sempena sambutan Aidilfitri.

Antara lokasi yang dikunjungi termasuk Dewan Serbaguna Kampung Selemas, kediaman Penghulu Abang Hashim, rumah Pemanca Rapen Angga, Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan dan Kampung Melayu Skim B Meradong.
Di setiap lokasi, rombongan beliau disambut dengan penuh mesra oleh penduduk yang mengambil kesempatan untuk beramah mesra selain berkongsi juadah Aidilfitri dalam suasana kekeluargaan.
Kunjungan turut diteruskan ke kediaman beberapa pegawai kerajaan dan tokoh masyarakat termasuk rumah Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Rentap, Man Akel dan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei, Alif.

Koung Hiing berkata, amalan kunjung-mengunjung sempena Aidilfitri merupakan tradisi yang amat bermakna dalam memupuk semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Tradisi kunjung-mengunjung seperti ini sangat penting kerana ia memberi peluang kepada pemimpin untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan masyarakat selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana penuh harmoni.
“Saya berharap semangat perpaduan dan keharmonian yang terjalin ini akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan Meradong,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan oleh penduduk di setiap lokasi yang dikunjungi sepanjang kunjungan Aidilfitri tersebut.
Turut hadir, Setiausaha SUPP Cawangan Bintangor, Lau Sie Hing; Bendahari SUPP Cawangan Bintangor, Lee Ngin Soon; Ketua Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor, Kaunselor Chieng Ming Kiong; Ketua Pergerakan Pemuda SUPP Cawangan Bintangor, Ley Chee Hua; Pemanca Yii Hee Sieng serta Kapitan Wong Mee King.
Oleh Earl Anek