Kumpulan Suara Seni, Aura Darisya juara Pertandingan Marhaban Peringkat Sarawak 2026

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menyerahkan hadiah johan kategori lelaki kepada Kumpulan Seni Suara. Foto Pusat Khidmat Kuala Rajang

SARIKEI: Kumpulan Suara Seni dari Surau Majma, Kuching dan Kumpulan Aura Darisya dari Surau Bumiputera, Kampung Sambit, Kota Samarahan masing-masing dinobatkan johan kategori lelaki dan wanita Pertandingan Marhaban sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 1448H/2026M Bahagian Sarikei.

Kedua-dua kumpulan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 selepas mengungguli kategori masing-masing dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Masjid Al-Muttaqin.

Pertandingan tersebut menghimpunkan penyertaan dari beberapa bahagian di Sarawak antaranya Kuching, Kota Samarahan, Betong, Sibu dan Miri, dengan dua kategori dipertandingkan iaitu lelaki dan wanita.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang dan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISRI) Datuk Len Talif Salleh pada semalam.

KUMPULAN Aura Darisya menerima hadiah johan kategori wanita daripada Datuk Len Talif Salleh. Foto Pusat Khidmat Kuala Rajang

Bagi kategori lelaki, Kumpulan Suara Al-Hamra dari Surau Al-Hamra, Balai Bomba Petra Jaya, Kuching meraih naib johan dan menerima RM3,000.

Tempat ketiga pula menjadi milik Kumpulan Al Muhasibin dari Surau Al Muhasin, Astana Lot, Petra Jaya yang membawa pulang RM1,000.

Dalam kategori wanita, Kumpulan An Nur Bisahri dari Surau Darul Ehsan, Kampung Bangka Semong, Kota Samarahan muncul naib johan dengan menerima RM3,000, manakala Kumpulan Sinar Muslimah dari Kampung Jemukan, Sadong Jaya menduduki tempat ketiga dan menerima RM1,000.

Penganjuran pertandingan tersebut menjadi antara pengisian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 1448H/2026M Bahagian Sarikei, selain menyediakan pentas kepada kumpulan marhaban dari pelbagai bahagian untuk mengetengahkan kebolehan masing-masing.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Manis yang juga Timbalan Pengerusi LAKISRI, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Sarawak, Datu Abdul Hadi bersama isteri, Datin Nik Nurizan dan Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Oleh Earl Anek