
MIRI: Majlis Prapelancaran Bazar Gawai Dayak 11.0 yang berlangsung di Eastwood Valley Golf & Country Club semalam menyaksikan kehadiran lebih 600 tetamu, termasuk pemimpin masyarakat dan wakil rakyat tempatan.
Acara anjuran Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) bertemakan “Bedagang, Berami, Begawai” bertujuan mengumpul dana bagi penganjuran Bazar Gawai Dayak yang akan berlangsung dari 1 hingga 24 Mei 2025 di Permyjaya, di sini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, mengumumkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada GADS.
Penguang turut memuji usaha persatuan dalam menganjurkan program ini secara berterusan sejak 11 tahun lalu.
“Bazar Gawai Dayak bukan sekadar medan perniagaan, tetapi juga platform perpaduan yang memperkukuhkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak,” katanya.
Penguang turut menyeru masyarakat Dayak agar terus memainkan peranan dalam memperkasakan ekonomi dan menyokong pembangunan negeri ke arah era digital.
Sementara itu, Pengerusi GADS, David Upe, dalam ucapannya pula, berkata program ini memberikan peluang kepada masyarakat Dayak untuk menceburi bidang keusahawanan kecil dan sederhana.
“Kami berterima kasih kepada semua wakil rakyat dan pihak yang menyumbang dana untuk kejayaan program ini,” katanya.
Selain sumbangan, majlis turut dimeriahkan dengan acara kebudayaan serta aktiviti kutipan dana melalui pertandingan karaoke “Suara Emas & Poco-Poco”, yang berjaya mengumpul RM3,000 dengan penyertaan Datuk Dr Penguang Manggil dan Ketua Polis Daerah Miri, Alexson Naga Chabu.
Beberapa wakil rakyat lain turut menyatakan komitmen untuk menyumbang kepada GADS, walaupun jumlahnya tidak diumumkan secara rasmi.
Majlis ini dihadiri oleh pemimpin tempatan, termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Gerawat Gala, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, serta pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan yang lain.
Oleh Adum Liu