Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Kuih selorot warisan keluarga Amelda terus memikat selera ramai
  • TEMPATAN

Eksklusif: Kuih selorot warisan keluarga Amelda terus memikat selera ramai

Utusan Sarawak 14 hours ago
KUIH selorot yang telah siap dikukus dan sedia untuk dihantar kepada pelanggan. Foto Norman B

ASAJAYA: Bermula sekadar minat dan keberanian mencuba, siapa sangka kuih tradisional selorot hasil tangan Amelda China, 48, dari Kampung Sampun Kelili kini mencuri perhatian ramai dan menjadi sumber rezeki yang semakin berkembang.

Segalanya bermula pada 2025 apabila beliau mula menjual selorot secara kecil-kecilan dengan memanfaatkan media sosial sebagai platform pemasaran.

“Pada awalnya saya hanya mencuba dengan membuat jualan dan berkongsi di Facebook, namun tidak sangka mendapat sambutan yang begitu ramai,” katanya ketika ditemui, sambil mengakui permintaan yang semakin meningkat di luar jangkaan.

AMELDA China (kanan) bersama ibunya sedang mengisi adunan kuih selorot ke dalam daun nipah yang telah digulung. Foto Norman B

Di sebalik kejayaan tersebut, tersimpan kisah warisan keluarga yang menjadi tunjang kepada kemahirannya. Amelda berkata, ilmu menghasilkan selorot dipelajari daripada ibu serta ibu saudaranya sejak usia muda.

“Saya belajar daripada ibu dan mak cik, dulu saya hanya memerhati, lama-kelamaan timbul minat untuk mencuba sendiri,” ujarnya.

Lebih bermakna, perniagaan itu merupakan kesinambungan legasi keluarga yang diwarisi turun-temurun.

“Ibu saya yang banyak mengajar dan menjadi pendorong untuk saya teruskan pembuatan kuih selorot ini,” katanya penuh penghargaan.

PROSES mengisi adunan ke dalam daun nipah yang telah digulung. Foto Norman B

Menghasilkan selorot bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan menggunakan bahan utama seperti sumbuk apong (pucuk nipah), gula apong, tepung beras, tepung pulut serta santan, setiap adunan memerlukan ketelitian tinggi.

Menurut Amelda, tempoh menyiapkan satu adunan boleh mencecah sehingga enam jam bergantung kepada kuantiti tempahan.

Tambahnya, cabaran utama adalah memastikan setiap selorot yang dihasilkan menepati kualiti dan rasa asli, selain menuntut kesabaran sepanjang proses penyediaan yang rumit.

Namun, di situlah terletaknya keistimewaan kuih tersebut.

PROSES mengukus kuih selorot. Foto Norman B

“Kuih selorot ini memang sedap dan tidak ramai yang pandai membuatnya, itu yang menjadikannya istimewa,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, Amelda tetap setia mengekalkan kaedah tradisional tanpa penggunaan teknologi moden.

“Saya masih menggunakan cara tradisional kerana itu yang mengekalkan keaslian rasa kuih selorot,” jelasnya.

Katanya lagi, resipi asal yang diwarisi menjadi pegangan utama bagi memastikan rasa autentik terus kekal dari satu generasi ke generasi seterusnya.

PROSES mengukus kuih selorot. Foto Norman B

Kini, beliau mampu menghasilkan sehingga 500 batang selorot sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah.

Dalam nada penuh harapan, Amelda mahu melihat lebih ramai golongan muda tampil mempelajari dan meneruskan warisan kuih tradisional ini.

“Saya berharap generasi muda akan berminat untuk mempelajari dan meneruskan pembuatan kuih tradisional seperti selorot supaya ia tidak dilupakan,” katanya, mengakhiri bicara dengan harapan agar warisan itu terus hidup.

Oleh Norman B

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Sabah hanya ada lebih 2,000 doktor, cabaran penuhi perkhidmatan kesihatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.