Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Kuih Bongkol Tirai Besi
  • WBS

Kuih Bongkol Tirai Besi

Utusan Sarawak 2 days ago

I

“KAU nak barang ni, kenalah bayar! Hoi, budak! Tak ada benda percuma dalam dunia ni. Lagi-lagi benda bernilai yang boleh bawa kau terbang sampai ke bintang macam ni.”

Khairul melayang-layangkan bungkusan kecil berisi beberapa biji pil di hadapan Faiz.

            “Hutanglah! Aku dah tak tahan ni. Satu dos saja. Tolonglah!” Faiz mengesat hidungnya yang berair. Tubuhnya juga sudah mula menggeletar.

            “Hutang dua hari lepas pun kau tak bayar lagi. Banyak cantik!”

            Faiz benar-benar sudah terdesak sehingga sanggup untuk membayar dua kali ganda kepada Khairul asalkan kemahuannya tertunai. “Tolonglah! Kalau kau tolong aku kali ni, aku janji akan bayar dua kali ganda.”

            Khairul menggelengkan kepala. “Kau pergi balik, dapatkan duit. Dah dapat duit tu, kau datang ke sini semula.”

            Faiz mendapatkan neneknya sebaik sahaja sampai di rumah.

“Aku nak duit! Tolonglah, nek! Aku dah tak tahan sangat ni.” Faiz mengesat mata dan hidungnya yang berair. Sesekali kelihatan badannya menggeletar.

Ketagihan ini benar-benar seperti membunuhnya jika tidak dapat menelan benda yang dia sangat perlukan. Rambutnya kusut, matanya merah dan berair, kuku kotor, badan kurus-kering dan berbau. Tidak ubah seperti bangkai hidup.

Nek Milah mengesat air mata dengan hujung lengan baju. “Nenek dah tak ada duit Faiz. Duit hasil jualan kuih bongkol nenek pun habis semua kau curi dua hari lepas. Simpanan yang nenek selit di celah lipatan baju di dalam almari, habis kau selongkar dan ambil. Nenek dah tak ada duit!”

Faiz bertambah berang kerana kemahuannya tidak dituruti oleh Nek Milah, “Tipu. Mesti ada lagi simpanan yang kau sembunyi di mana-mana di dalam bilik kan? Hoi, orang tua! Baik kau berikan aku duit, kalau tak buruk jadinya nanti.”

“Kenapa Faiz berubah jadi begini? Kalau ibu dan ayah Faiz masih ada, mesti mereka sedih tengok keadaan Faiz sekarang. Dulu Faiz tak macam ni pun. Sebelum ini Faiz selalu membantu nenek berniaga kuih bongkol, tapi sekarang Faiz asyik mengelat. Siapa yang rosakkan Faiz sampai jadi macam ni?”

“Jangan nak tukar topik pula. Tak payah nak diungkit nama ibu dan ayah aku. Mereka dah mati. Entah apa yang dibuatnya dalam kubur sekarang. Aku nak duit, Nek! Duit! Aku nak beli barang dengan duit tu. Kalau dapat duit tu, aku nak terbang! Terbang!” Faiz mula melangkah menuju ke bilik tidur Nek Milah.

Nek Milah bingung dengan butir bicara cucunya.  Pantas dia menghalang langkah Faiz. Risau Faiz menjumpai duit yang dia sembunyikan di celah-celah bantal atas katil. Itu sahaja lagi duit yang dia ada. Kalau duit itu pun diambil, sudah tidak ada modal untuk dijadikan berniaga. Apatah lagi itu sahaja sumber pendapatannya. Kalau tak ada modal untuk berniaga, macam mana nak dapatkan duit untuk membeli makanan dan keperluan harian?

Berang laluannya dihalang, Faiz merentap baju dan menolak kasar tubuh Nek Milah. Tanpa sedar kepala Nek Milah terhantuk pada bucu meja kopi berhampiran mereka. Rebah tersungkur tubuh tua itu berserta darah deras mengalir dari kepalanya. Faiz cuba menggerakkan tubuh Nek Milah. Kaku, tidak bergerak. Faiz ketakutan sehingga ada peluh hadir di dahi luasnya. Faiz bertambah cemas sebaik mendengar derap kaki mendekat ke muka pintu rumah kayu itu. Maya dan Kamal, pasangan suami isteri yang juga jiran Nek Milah datang menjenguk kerana berasa tidak sedap hati selepas terdengar bunyi bising dan pertengkaran dari rumah Nek Milah.

“Assalamualai…” Tidak sempat menghabiskan salam, Maya sudah menjerit saat terlihat tubuh Nek Milah terbaring di atas lantai dengan kepala yang berlumuran darah.

“Ya Allah Nek Milah, apa dah jadi ni? Faiz! Apa kau buat ni?” Tangan Maya sudah menggeletar. Manakan tidak takut, seumur hidupnya tidak pernah berhadapan dengan kejadian seperti ini.

“Maya, telefon ambulans! Cepat!” Kamal memberi arahan.

Sementara Maya menghubungi ambulans, Kamal mendekati Faiz yang duduk mengecilkan tubuh di sebalik tiang rumah, “Faiz, kali ini abang dah tak boleh berdiam diri. Kau dah melampau. Selama ni abang nasihatkan kau untuk berubah, tapi kau langsung tak ambil endah. Kau masih juga mengambil barang terlarang itu. Kalau ikutkan hati abang, sudah lama abang laporkan kau kepada pihak polis. Tapi abang kasihankan Nek Milah. Abang berharap apa yang abang buat ni mampu sedarkan kau.” Kamal segera mendail nombor telefon pihak polis untuk melaporkan kejadian yang berlaku.

II

Sudah hampir lapan bulan peristiwa itu berlaku. Nek Milah juga sudah semakin pulih dalam jagaan Maya dan Kamal.

“Hanya Allah yang mampu membalas segala kebaikan kamu berdua. Nek Milah sangat terhutang budi.” Lembut Nek Milah menuturkannya sambil mengelus lembut tangan Maya.

Maya menangkis kata-kata Nek Milah, “Apa pula terhutang budinya Nek Milah. Kami dah anggap Nek Milah sama seperti nenek kami sendiri. Walaupun kita tak ada pertalian darah, kita saudara seagama Nek Milah, dah jadi tanggungjawab kita perlu berbuat baik sesama sendiri.”

“Rasanya kalau tak ada aral, Nek Milah nak mula berniaga semula minggu hadapan. Ramai yang dah mula bertanya dan rindukan kuih bongkol Nek Milah. Tapi sebelum itu, Nek Milah berhasrat untuk melawat Faiz. Boleh bawa nenek ke penjara nanti, Kamal? Rindu sungguh Nek Milah pada dia.”

Kamal mengangguk laju, “Boleh, Nek Milah. Nanti Kamal bawa Nek Milah ke sana.”

Hujung minggu itu, Nek Milah setia menanti di ruang melawat menunggu giliran untuk berjumpa Faiz. Sebaik sahaja nama Faiz disebut oleh pegawai penjara yang bertugas Nek Milah segera mendekati dinding kaca dan mencapai gagang telefon untuk berbicara dengan Faiz. Belum pun mula berkata-kata, air mata Nek Milah sudah deras mengalir.

“Faiz, nenek rindukan Faiz. Faiz sihat?”

Faiz yang tadi hanya menunduk menekur lantai mula mengangkat kepala, “Nek…”

Hanya itu yang mampu disebut Faiz. Tidak mampu berkata-kata apabila rasa bersalah menyelubungi diri tatkala memandang wajah tua neneknya. Faiz mencemuh diri sendiri atas perbuatan terkutuknya terhadap nenek sendiri. Sedangkan neneknya ini yang banyak berjasa, menjaganya setelah ibu dan ayah pulang ke pangkuan Ilahi.

“Faiz minta ampun, nek. Faiz banyak dosa dengan nenek. Faiz menyesal terjebak dengan najis dadah tu semua. Faiz janji, Faiz akan berubah nek.” Deras air mata menuruni wajah Faiz.

“Nenek tengok Faiz dah lain sekarang berbanding Faiz yang dulu. Kemas dan lebih terurus. Banyak yang Faiz belajar di sini?” tanya Nek Milah.

Faiz mengangguk dan senyum sambil menatap wajah Nek Milah di sebalik kaca yang meisahkan mereka di bilik lawatan itu, “Ya, nek. Faiz dapat mengawal ketagihan dan banyak benda yang Faiz belajar di sini. Jadual penuh dengan pelbagai kelas. Ada kelas agama, jahitan, pertanian, memasak dan banyak lagi. Anak penghulu kampung kita baru ditugaskan ke sini dua bulan lepas. Tuan Azmin namanya. Dia melantik Faiz untuk jadi ketua kelas memasak sebab dia tahu Faiz mahir membuat kuih bongkol. Bulan depan ada karnival jualan hasil tangan banduan, pegawai di sini mahu menjadikan kuih bongkol antara produk jualan kami nanti. Tak sia-sia Faiz selalu tolong nenek berniaga dulu kan?”

Nek Milah teruja mendengar Faiz ramah bercerita, “Syukur, nanti Faiz ajarlah rakan-rakan yang lain. Tak salah berkongsi ilmu.”

III

Hari ini merupakan hari pertama Faiz diminta untuk mengendalikan kelas memasak dan mengajar rakan-rakan banduan yang lain cara membuat kuih bongkol. “Faiz, sudah bersedia? Ada beberapa pegawai wanita juga akan turut serta sebab mereka juga berminat untuk mempelajari cara membuat kuih bongkol.” Tuan Azmin menyapa Faiz sambil di belakangnya ada beberapa pegawai wanita yang mengikut.

Faiz mengangguk sambil tangannya ligat menyusun bahan di hadapannya, “Sudah, Tuan. Bahan-bahan pun sudah cukup semuanya. Ada daun pisang, pelepah pisang dan lidi untuk membungkusnya, tepung beras, gula apong, air daun pandan, garam, esen vanila, telur serta santan.”

Banduan dan pegawai wanita yang lain mula mendekati Faiz untuk melihat dengan lebih dekat. “Jika baru mula membuat kuih bongkol kita akan rasa sedikit payah kerana banyak adunan yang perlu disediakan. Tapi apabila sudah biasa, semuanya kita akan anggap mudah sahaja bak kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa’. Kita perlu sediakan tiga adunan iaitu adunan tepung beras, adunan santan dan adunan telur. Pertama sekali, kita buat adunan tepung beras dahulu. Kita perlu bancuh tepung beras dengan air pandan sehingga sebati.”

Azman, salah seorang banduan mula bertanya, “Kalau guna perisa pandan yang dalam botol tu boleh?”

Tangan Faiz tekun menggaul bancuhan tepung beras sambil menjawab soalan rakannya, “Sebenarnya boleh saja kalau nak guna perisa pandan yang ada dalam botol tu, tapi nenek saya kata nanti hilanglah aslinya. Kalau nak kuih bongkol yang sedap, mesti gunakan air dari daun pandan yang kita kisar sendiri.”

“Sementara itu, kita boleh mula sediakan adunan santan pula. Kita masakkan santan di atas dapur dengan api yang perlahan bersama simpulan daun pandan supaya santan kita akan jadi wangi. Masak dengan api yang perlahan sahaja agar santannya tidak meruap dan melimpah keluar dari periuk.” Faiz menghulurkan senduk kepada rakan di sebelah untuk memberinya peluang turut serta dalam aktiviti hari ini.

Apabila air santan mula mendidih, Faiz mengambil alih mengaduk adunan, “Bila dan masak macam ni, kita boleh angkat dan masukkan dalam bancuhan tepung beras tadi. Kemudian, kita gaul sehingga adunan sebati dan kelihatan pekat. Jangan lupa masukkan garam secubit dua, supaya kuih bongkol kita lemak rasanya. Puan boleh cuba, cukup tak rasanya? Atau nak tambah apa-apa?”

Puan Aini mengambil sudu yang dihulurkan Faiz, “Cukup. Sudah sempurna rasanya.”

Faiz lega mendengarnya, “Sekarang adunan ketiga pula, iaitu adunan telur. Adunan telur ini adunan yang paling mudah untuk disiapkan. Kita hanya perlu campur telur bersama santan, esen vanila untuk menghilangkan hanyir telur dan sedikit gula. Kalau nak kurangkan manis, tak letak gula pun tak apa sebab nanti kita akan masukkan gula apong dalam daun pisang.”

Kemudian, Faiz mengambil pelepah dan daun pisang untuk memberi tunjuk ajar proses yang berikutnya, “Pelepah pisang ni kita jadikan sebagai acuan untuk membentuk daun pisang agar mudah untuk kita mengisi adunan ke dalamnya nanti. Bila selesai membentuknya menjadi seperti beg tangan, sudah boleh masukkan adunan. Mula-mula letak dahulu gula apong di dalam daun pisang ini, diikuti adunan tepung beras tadi, kemudian masukkan bancuhan telur pada lapisan atas.”

Faiz meneruskan lagi proses pengajarannya, “Jangan kedekut dengan adunan telur. Nanti apabila siap dikukus kuih bongkol kita akan kering, jadi tak sedap. Masukkan satu sudu lagi adunan telur, Azman.” Tegur Faiz kepada rakan yang kelihatan sangat tekun belajar membuat kuih bongkol.

“Bila dah siap masukkan semua adunan, kita boleh sematkan lidi untuk membungkus daun pisang. Kalau perasan, kebanyakan peniaga sekarang ini suka mengambil jalan mudah dengan menggunakan pengokot. Bahaya sebenarnya, kita tak tahu kalau ada anak kecil yang memakan kuih bongkol ini akan termakan sekali dengan besi pengokot tersebut. Maka, seelok-eloknya gunalah lidi pendek seperti ini.” Terang Faiz sambil tangannya ligat menyemat lidi pada daun pisang.

“Dah siap semua, bolehlah kita mula mengukus.” Faiz membawa talam yang penuh berisi kuih bongkol ke periuk pengukus yang sudah berasap di atas dapur.

“Berapa lama perlu kita mengukusnya, Faiz?” Tanya Puan Aini.

“20 – 30 minit sudah memadai, puan. Untuk cara yang lebih mudah, bila kita tengok daun pisang sudah layu masaklah kuih bongkol kita maksudnya.”

“20 minit tu bagaikan dua jam menanti. Tak sabar nak makan kuih bongkol ni.” seloroh Tuan Azmin sambil menelan liur.

Selepas menanti selama 30 minit, kuih bongkol yang sudah siap Faiz letakkan di atas piring bersama sudu teh untuk dihidangkan kepada pegawai penjara. Pada ketika itu, seluruh dapur dipenuhi dengan aroma kuih bongkol. Manakan tidak, apabila bau lemak santan bergabung dengan bau daun pisang dan gula apong, benar-benar membangkitkan selera. Jantung Faiz berdebar menanti komen daripada pegawai mengenai kuih bongkol tersebut.

“Sedap! Sama seperti rasa kuih bongkol Nek Milah. Apatah lagi makan masa masih panas macam ni, tak cukup kalau makan satu saja.” Puji Puan Aini sebelum meneruskan suapan yang kedua.

Tuan Azmin mengangguk setuju, “Betul. Manis dan lemaknya semua cukup. Pasti laku jualan kita pada hari karnival nanti.”

Bila tiba hari karnival penjara yang ditunggu-tunggu, Nek Milah ditemani Maya dan Kamal datang berkunjung untuk meninjau atau mungkin sekadar mencuci mata. Banyak barang jualan yang dijual, antaranya hasil kraf tangan banduan, baju yang dijahit banduan, tanaman yang ditanam di dalam penjara dan juga makanan yang dibuat hasil daripada para banduan belajar dalam kelas memasak.

Nek Milah menarik tangan Maya mendekati khemah jualan makanan. Di atas meja jualan terdapat banyak makanan, antaranya pelbagai jenis kerepek seperti kerepek ubi, kerepek pisang dan kerepek sukun. Di sudut sebelah kanan meja pula, ada beberapa jenis kuih sejuk beku yang dijual seperti karipap, donat dan cakoi. Terdapat juga jualan makanan yang sedia untuk dimakan seperti kuih-muih yang sudah digoreng. Bersama kuih-muih tersebut Nek Milah terpandang kuih bongkol yang hanya tinggal kurang daripada sepuluh biji lagi.

Tuan Azmin yang mengenali Nek Milah ramah menegur, “Nek Milah nak rasa air tangan cucu Nek Milah? Sedap kuih bongkol yang dibuat oleh Faiz dan rakan-rakannya. Nek Milah tengoklah sendiri, kuih bongkol antara jualan yang paling laris hari ini.”

Nek Milah mengangguk sambil tersenyum. “Nasib baik sempat sebelum semuanya habis dibeli orang. Nek Milah nak beli lima bungkus, ya.”

“Nanti apabila Faiz sudah keluar, Nek Milah boleh berehat. Biar Faiz uruskan semua perniagaan kuih bongkol Nek Milah. Rasa kuih bongkol yang dia buat pun sama seperti air tangan Nek Milah. Faiz saya tengok sudah banyak berubah, Nek Milah. Insya Allah dia boleh diharapkan.” Ujar Tuan Azmin sambil menghulurkan bungkusan berisi kuih bongkol kepada Nek Milah.

“Alhamdulilah, lega Nek Milah mendengarnya. Nek Milah sentiasa mendoakan agar Faiz berubah dan menjadi orang yang berguna apabila keluar nanti.”

Oleh Nabillah Bolhassan

Continue Reading

Previous: Puisi
Next: Menguasai Diksi Mengawal Emosi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.