Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kuih bongkol popular, jadi buruan semasa ‘sungke’
  • TEMPATAN

Kuih bongkol popular, jadi buruan semasa ‘sungke’

Utusan Sarawak 2 months ago
DIGEMARI RAMAI… Kuih bongkol sering menjadi tumpuan utama bagi pelanggan yang mengunjungi bazar Ramadan di Sarawak.
-Foto BERNAMA

KOTA SAMARAHAN: Ketika azan maghrib berkumandang menandakan tibanya waktu berbuka puasa, sepinggan kuih bongkol sudah menunggu di atas meja sebagai antara juadah utama masyarakat di Sarawak sepanjang Ramadan.

Bagi mereka yang pertama kali mencubanya pasti akan terpesona dengan tekstur kuih tradisi itu  yang lembut seperti kastard dengan setiap suapan memberikan rasa lemak manis yang sempurna hasil gabungan tepung beras, santan segar dan gula apong, sejenis gula nipah yang terkenal di Sarawak. 

Peniaga kuih, Sainah Salleh atau lebih dikenali sebagai Cik Senah, 58, berkata kuih bongkol dibungkus dengan daun pisang sebelum dikukus untuk memberikan aroma semula jadi yang menambat selera.

“Saya mewarisi resipi kuih ini daripada ibu dan ini merupakan resepi turun-temurun. Generasi muda perlu belajar cara membungkus kuih bongkol agar kuih tradisi ini tidak dilupakan,” katanya.

Cik Senah adalah antara peniaga kecil yang mengambil peluang menjaja kuih di kawasan perumahan Desa Ilmu sepanjang Ramadan yang telah dilakukannya sejak 15 tahun lepas, dengan kuih bongkol yang kini dijual pada RM2 sebiji kekal menjadi buruan utama pelanggan.

Syakila Isyak, 31, yang merupakan pembeli setia kuih bongkol Cik Senah berkata, kuih itu bukan sekadar pencuci mulut biasa tetapi ia mengingatkannya tentang suasana Ramadan di kampung.

“Setiap kali berbuka puasa, kuih ini wajib dihidang dalam keluarga saya, begitu juga dengan keluarga yang lain kerana ini adalah kuih tradisi dan identiti Sarawak.

“Di sesetengah kampung, kuih bongkol dijadikan juadah moreh selepas solat tarawih di masjid dan surau,” katanya.

Sementara itu, Azizah Ismawi, 36, berkata walaupun kuih bongkol kurang dikenali orang luar, bagi rakyat  Sarawak kuih tersebut adalah kebanggaan warisan kulinari yang perlu terus dilestarikan.

Tambahnya, kuih bongkol bukan hanya makanan tetapi satu cerita, satu memori dan satu warisan yang terus mekar dalam kehidupan masyarakat Sarawak.

– BERNAMA

Continue Reading

Previous: Kuasai bahasa Inggeris resipi kejayaan
Next: Pastikan aspek pelancongan Sarawak terbaik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.