Rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, pasti tahu tentang Kuih Angku.
Kuih Angku atau “Red Tortoise Cake” adalah kuih muih tradisional Cina yang sedap dan mudah. Ia turut dikenali sebagai kuih kura-kura merah sejak berzaman lagi sebab bentuk dan rupanya yang menyerupai kura-kura.
Popular dalam kalangan kaum Cina juga, kuih Angku sangat senang dikenali disebabkan warnanya yang terang dan bentuknya yang unik.
Maksud di sebalik nama kuih Angku ini adalah cukup menarik. “Angku” bermaksud kura-kura merah. Nama ini diberi kerana bentuk kuih tersebut kelihatan seperti cangkerang kura-kura dan lazimnya diletakkan pewarna merah.
Kuih Angku biasanya berbentuk bujur atau bulat, melambangkan kura-kura yang sedang berehat.
Kuih Angku menjadi kuih kegemaran terutama orang peranakan Baba Nyonya. Kuih ini merupakan antara kuih nyonya yang cukup popular dek rasanya yang manis dan tekstur yang lembut.Tapi pelbagai bangsa di Malaysia juga suka kuih ni, sebab rasa dia seakan-akan kuih koci.
Sementara itu, Kuih angku juga sering menjadi juadah bagi kaum Cina dan masyarakat Peranakan ketika merayakan Tahun Baru Cina mahupun ketika sambutan ulang tahun kelahiran yang melambangkan panjang usia dan kemakmuran.
Kuih ini sering kali dihidangkan pada hari-hari khas atau perayaan sebagai tanda panjang umur, murah rezeki dan kebahagiaan dalam hidup.
Kuih Angku didatangkan dengan warna merah kerana menurut kepercayaan orang cina, warna merah melambangkan kebahagiaan dan kegembiraan manakala kura kura pula melambangkan ketabahan, panjang umur serta kuasa.
Oleh itu, kebiasaannya Kuih Angku mudah ditemui ketika sesuatu upacara dijalankan seperti hari perayaan, hari lahir dan sewaktu dengannya.
Tapi, anda tak perlulah tunggu hari istimewa atau perayaan untuk cuba resepi kuih angku ini. Cukuplah jika hari anda menjadi lebih baik dengan menikmati kuih ini sebagai hidangan minum petang bersama ahli keluarga.
Kebiasaannya ia berwarna merah, tetapi pada zaman sekarang sudah ada bermacam-macam warna dan kuih ini yang aslinya menggunakan warna asli dari buah-buahan atau sayur-sayuran dan ada juga yang diterap perkataan Cina dibahagian kulit luarnya menggunakan acuan khas.
Contohnya untuk warna oren atau ungu gunakan keledek. Warna hijau dari daun pandan, merah pula dari ubi bit atau beet root. Warna biru dari jus bunga telang. Ada juga kuih angku hitam guna daun ramie.
Bahan-bahannya seakan-akan bancuhan kuih koci, menggunakan tepung pulut. Orang peranakan masukkan sedikit pati santan dalam adunan kulit kuih angku untuk mendapat rasa yang lebih lemak.
Inti kuih angku menggunakan kacang hijau yang telah dibuang kulit. Kacang hijau tanpa kulit tadi perlu direndam dan direbus atau dikukus hingga lembut, kemudian dimasak dengan gula dan sedikit minyak kacang. Satu kebaikkan inti yang kita buat sendiri ialah kita boleh kawal tahap kemanisannya, samada nak kurang manis atau manis.
Untuk acuan pula, yang itu boleh dapat di kedai-kedai menjual barang bahan kek atau serbaneka. Ada dua jenis acuan kuih angku, satu yang diperbuat dari plastik dan satu lagi dari kayu.
Kuih Angku yang siap diacuan boleh simpan dalam peti sejuk selama seminggu. Kuih angku ini tIdak akan mengeras langsung dalam tempoh tersebut!
Cuma keluarkan, letak dalam pengukus selama 8 hingga 10 minit dan ia sudah sedia untuk dimakan.
Oleh Cheryl Law