
KUCHING: Kucing Putih ikonik di Padungan kembali menjadi tumpuan apabila diserikan dengan penyalaan lampu sempena Penukaran Lampu Krismas 2025, sekali gus memeriahkan suasana perayaan di bandar raya ini.
Majlis penyalaan lampu tersebut disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, bersama Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, Timbalan Datuk Bandar, Dato Zaiedi Suhaili serta barisan ahli majlis MBKS.
Dr Sim berkata tradisi menghias Kucing Putih setiap kali musim perayaan mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi kekuatan Sarawak.
“Setiap musim perayaan, kita berganding bahu menukar kostum Kucing Putih ini sebagai tanda kita meraikan perayaan semua kaum. Inilah semangat Sarawak, kita saling meraikan dan menghormati,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa musim Krismas adalah masa untuk masyarakat berfikir, merenung dan menghargai keharmonian yang dinikmati di negeri ini.

“Ramai di luar sana berdepan peperangan dan penderitaan. Kita di Sarawak bertuah hidup dalam aman. Ketika rakyat pulang untuk bersama keluarga, ini waktu terbaik untuk kita berkongsi kegembiraan dan melihat peranan kita dalam pembangunan negeri,” ujarnya.
Sementara itu, Dato Wee berkata kostum dan hiasan baharu pada Kucing Putih tersebut melambangkan semangat inklusif Kuching.
“Setiap musim perayaan, kita meraikannya bersama – termasuk Kucing Putih ini. Tiada siapa yang tersisih,” katanya.
Beliau turut menekankan simbolik penyalaan lampu yang membawa makna cahaya menghalau kegelapan.
“Krismas adalah masa kegembiraan, keamanan dan harmoni. Cahaya ini menjadi harapan dan saya berharap Kuching serta Sarawak terus menjadi sinar kepada orang lain,” ujarnya.
Dato Wee turut menggesa masyarakat agar memelihara keharmonian negeri. “Jangan benarkan sesiapa dari luar menjejaskan keharmonian kita. Semua rakyat Sarawak mesti mempertahankannya dan terus berbangga sebagai orang Sarawak,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Tahun Baharu 2026.
Dalam pada itu, Dato Zaiedi juga menekankan bahawa semangat perayaan yang diraikan di Kuching bukan hanya terhad pada musim tertentu, tetapi sebahagian daripada cara hidup masyarakat.
“Bagi kami, perayaan bukan sekadar tiba pada waktunya. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan seharian dan sebahagian daripada kesatuan kita,” katanya.
Beliau berkata masyarakat di bawah pentadbiran MBKS sentiasa menghidupkan semangat perayaan dengan menghormati kepelbagaian budaya dan agama.
“Kita menghormati budaya dan agama. Perayaan ini adalah sebahagian daripada kehidupan seharian kita,” ujarnya.
Dato Zaiedi turut menyampaikan ucapan selamat kepada komuniti setempat. “Saya berharap semua warga komuniti MBKS meraikan musim ini dengan penuh kegembiraan. Selamat Natal dan Tahun Baharu,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud