CHIBA (Jepun): Seekor kucing yang menjadi ketua stesen di sebuah stesen kereta api tempatan di Jepun berjaya menarik peminat dan meningkatkan jualan barangan cenderamata, ketika pengendali kereta api yang sedang bergelut itu mengharapkan populariti kucing berkenaan untuk membantu menarik lebih ramai pelancong, lapor Kyodo News.
Kucing betina yang diberi nama sementara Nakano-san itu mendapat tempat di Stesen Nakanocho di bandar pelabuhan Choshi, Wilayah Chiba, berhampiran Tokyo, selepas diselamatkan oleh seorang kakitangan pada Oktober tahun lepas.
Dalam keadaan kurus dan mengalami selesema sehingga matanya sentiasa tertutup, kucing itu beransur-ansur pulih dan mula membiasakan diri dengan orang ramai di bawah penjagaan kakitangan stesen.
Kucing itu mula diperkenalkan sebagai pekerja pelatih pada Januari sebelum dilantik sebagai ketua stesen sepenuhnya pada Mei. Kini, ia bertugas kira-kira sekali seminggu berikutan cuaca panas musim panas dan muncul di media sosial sebagai sebahagian daripada aktiviti perhubungan awam Choshi Electric Railway Co.
Ketika Nakano-san – yang namanya menggunakan akhiran kehormatan ‘san’ dalam bahasa Jepun – hadir bertugas pada pertengahan Julai, peminat yang membawa kamera memenuhi kawasan stesen. Kucing itu sebelum ini bebas berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan, namun cuaca yang sangat panas menyebabkan ia menghabiskan sebahagian besar masanya di atas rak buku di dalam stesen.
Setiausaha kepada ketua stesen kucing itu, Remi Magami, berkata, “Saya berharap Nakano-san dapat memberi orang ramai sebab untuk mengunjungi Choshi.”
Mayumi Ito, yang berasal dari Tokyo berkata beliau mengunjungi stesen itu sebulan sekali sejak Nakano-san menjadi ketua stesen. Wanita berusia 47 tahun itu berkata beliau melihat kucing itu ‘seperti anak sendiri’, setelah mengenalinya sejak masih kecil.
Menurut profil dalam talian kucing itu, Nakano-san bersifat ingin tahu, penyayang, suka bermain dan banyak tidur. Antara ‘kemahiran istimewa’ yang dimilikinya ialah menjatuhkan tetikus komputer ke lantai dan tidur di atas dokumen.- Bernama-Kyodo




