
KUCHING: Kuching Zumba Fiesta 2025 yang dijadual berlangsung pada 2 Ogos depan, menyasarkan untuk mencipta dua rekod Malaysia sempena sambutan ulang tahun ke-10 penganjurannya sejak mula diperkenalkan pada 2015.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, acara tahunan anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) itu akan berlangsung pada Sabtu, 2 Ogos depan di Stadium Hoki Negeri bermula 6.30 petang hingga 10.30 malam.
Menurut beliau, pihaknya menyasarkan penyertaan terbesar dalam acara Zumba di Malaysia serta penyertaan terbesar dalam Zumba bercahaya (Glow In The Dark).

“Rekod semasa bagi penyertaan terbesar dalam acara Zumba dicatatkan oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang dengan 9,500 peserta pada 2023.
Sementara itu, rekod bagi acara Zumba Bercahaya kini dipegang oleh Sunway Lagoon dan Watson’s, dengan penyertaan seramai 5,360 peserta pada 2016.
“Kita percaya, dengan semangat komuniti Kuching yang luar biasa, kita mampu mengatasi angka tersebut dan membanggakan Sarawak,” katanya semasa sidang media di MBKS, di sini, hari ini.
“Daripada acara berskala kecil, kini ia berkembang menjadi salah satu acara kecergasan terbesar di Kuching dan dinanti-nantikan setiap tahun oleh keluarga, rakan-rakan, pelajar dan peminat kecergasan,” katanya.
MBKS akan menggunakan sistem bunyi berkuasa tinggi dan skrin LED berdefinisi tinggi bagi memastikan peserta dapat mengikuti gerakan koreografi dengan jelas untuk pengalaman Zumba yang bertenaga.
“Acara ini menggabungkan elemen kesihatan, muzik dan teknologi dengan satu manifestasi komitmen kami terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik.
“Kuching Zumba Fiesta bukan sekadar senaman tetapi satu platform membina kesihatan fizikal dan mental, mengeratkan silaturahim dan meningkatkan keyakinan diri”, ujarnya.
Antara studio kecergasan dan kumpulan Zumba yang bakal menyertai acara ini termasuk Shake It Squad, Angels Fitsquad, Flylab Athletics, Fitstars Dance Crew, Exhilarate Fitness Studio, ZINs Fabulous, Honey Dance and Fitness Studio, Amber Warriors Fitness Studio, Choco Fitness Studio, Reggae Fitness Studio serta Kelab Sukan Kecergasan Kota Samarahan (KSKKS Studio).
Menurutnya lagi, bagi memeriahkan lagi acara, cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik turut disediakan dan penyertaan adalah percuma melalui aplikasi iPeople.
“Tiada yuran penyertaan dikenakan dan kita mengalu-alukan semua peringkat usia untuk turut serta menjadikan detik ini bersejarah,” katanya.
Dato Wee turut menzahirkan penghargaan kepada penaja utama, KTS Group, atas sumbangan sebanyak RM50,000, serta Natural Avenue Sdn Bhd yang menyumbang RM10,000. Beliau juga berterima kasih kepada Gatorade selaku rakan minuman rasmi yang menaja lebih 10,000 botol minuman sukan bagi memastikan peserta kekal terhidrat sepanjang acara.
“Kuching Zumba Fiesta bukan sekadar tentang angka atau rekod, tetapi mengenai kebersamaan, gaya hidup sihat dan komuniti yang lebih kuat dan bersatu.
“Mari kita berhimpun pada 2 Ogos nanti untuk meraikan kesihatan, kegembiraan dan keharmonian di bawah cahaya bintang, sambil menari dan mencipta sejarah bersama-sama,” jelasnya.
Oleh Shikin Mahmud