Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Kuching Zumba Fiesta 2025 sasar catat dua rekod Malaysia
  • SUKAN

Kuching Zumba Fiesta 2025 sasar catat dua rekod Malaysia

Utusan Sarawak 1 day ago
DATUK Wee Hong Seng berucap ketika sidang media Kuching Zumba Fiesta 2025, di Bangunan MBKS, di sini, hari ini.

KUCHING: Kuching Zumba Fiesta 2025 dijangka mencipta sejarah apabila penganjur menyasarkan untuk mencatat dua pencapaian dalam Malaysia Book of Records sempena ulang tahun ke-10 penganjuran acara tersebut.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata edisi kali ini lebih istimewa kerana bukan sahaja meraikan ulang tahun satu dekad penganjuran acara tersebut, malah turut berusaha memecahkan dua rekod kebangsaan iaitu penyertaan terbesar dalam acara Zumba dan penyertaan terbesar dalam acara Zumba Glow in the Dark.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan secara rasmi penganjuran acara itu yang akan berlangsung pada Sabtu ini, 2 Ogos 2025 bermula 7.00 malam hingga 10.30 malam di Stadium Hoki Negeri.

Menurut Wee, setakat ini lebih 9,600 peserta telah mendaftar dan angka tersebut memberi keyakinan bahawa kedua-dua rekod dapat dicapai. Namun begitu, katanya, pendaftaran sahaja tidak memadai kerana kehadiran fizikal peserta pada hari acara amat penting bagi memastikan rekod sebenar dapat direalisasikan.

Tambah beliau, acara itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 3 iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan dengan mengetengahkan gaya hidup aktif secara menyeronokkan dan inklusif. 

Bagi memastikan semua peserta mendapat pengalaman terbaik, penganjur akan menyediakan sistem bunyi dan skrin LED berkuasa tinggi bagi membolehkan peserta dari semua sudut stadium dapat melihat dengan jelas.

Glow stick berwarna kuning juga akan diberikan kepada setiap peserta sebagai sebahagian daripada sesi Glow in the Dark.

Untuk memeriahkan suasana, acara itu akan disokong oleh 11 studio dan pasukan kecergasan yang akan mempersembahkan rutin Zumba masing-masing di atas pentas.

DATUK Wee Hong Seng bersama para pasukan dari kelab terlibat bergambar bersama dengan pelbagai hadiah yang bakal dimenangi.

Antara pasukan yang terlibat ialah Shake It Squad, Angels Fitsquad, Flylab Athletics, Fitstarz Dance Crew, Exhilarate Fitness Studio, ZINs Fabulous, Honey Dance and Fitness Studio, Amber Warriors Fitness Studio, Choco Fitness Studio, Reggae Fitness Studio serta Kelab Sukan Kecergasan Kota Samarahan.

Selain itu, peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah termasuk tiket penerbangan pergi balik ke Kunming, China, basikal gunung dan peralatan elektrik.

Wee turut menzahirkan penghargaan kepada para penaja yang menjayakan acara itu. Antara yang terlibat ialah KTS Group selaku penaja utama dengan sumbangan sebanyak RM50,000, Natural Avenue Sdn Bhd sebagai penaja bersama dengan sumbangan RM10,000 serta Ming Ming Travel Services Sdn Bhd yang menaja tiket penerbangan ke Kunming.

Gatorade pula bertindak sebagai penaja minuman rasmi dengan menyediakan lebih 10,000 botol minuman kepada peserta.

Beliau menegaskan bahawa Kuching Zumba Fiesta bukan sekadar acara kecergasan, tetapi satu perayaan yang meraikan kesihatan, kegembiraan dan semangat komuniti. 

Justeru, beliau mengajak orang ramai untuk hadir bersama pada malam 2 Ogos ini bagi mencipta detik bersejarah yang akan terpahat dalam rekod negara.

Oleh Norman B.

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Penganjuran Sukan SEA 2027 peluang perteguh imej Malaysia – PM Anwar
Next: Malaysia juara keseluruhan Kejohanan Boling Remaja Asia 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.