
SIBU: Kontinjen Kuching muncul juara Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak ke-52 2025 yang melabuhkan tirainya di Stadium Tun Zaidi, petang semalam.
Pasukan itu mengungguli kejohanan dengan kutipan 43 pingat emas, 25 perak dan 21 gangsa dan berjaya mengutip 475 mata sekali gus membuktikan kecemerlangan mereka.
Tempat kedua menjadi milik Miri dengan 372 mata hasil kutipan 20 pingat emas, 31 perak dan 24 gangsa, sementara Bintulu memenangi tempat ketiga dengan 333 mata meraih 22 pingat emas, 20 perak dan 19 gangsa.
Atlet Kuching, Muhamad Qarliff Kuyt Abdullah, dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki Bawah 18 Tahun selepas merangkul tiga pingat emas termasuk satu rekod baharu dalam acara 400 meter.
Sementara itu, wakil Serian, Natalia Abby Uding Simon, dinobatkan Olahragawati Perempuan Bawah 18 Tahun apabila meraih dua pingat emas dan memecahkan rekod Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dalam acara 100 meter lari berpagar.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Sarawak yang juga Yang Dipertua MSS Sarawak, Omar Mahli.
Dalam ucapannya, Omar menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) menitikberatkan pembentukan sahsiah, adab serta integriti dalam kalangan pelajar sebagai sebahagian daripada pembangunan modal insan berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“KPM juga memberi penekanan kepada nilai karamah insaniah dalam semua program sukan, kokurikulum dan kesenian sebagai usaha membentuk pelajar berkeperibadian unggul, selaras dengan teras kedua dalam pelaksanaan Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM,” katanya.
Tambah beliau, kejohanan sukan seperti MSS Sarawak ini menjadi platform penting dalam pembentukan karakter dan sahsiah diri murid.
Sebanyak 12 kontinjen dari Majlis Sukan Sekolah Bahagian dan Sekolah Sukan Negeri SMK Tabuan Jaya mengambil bahagian dalam kejohanan lima hari membabitkan 1,179 atlet dan 437 pegawai pasukan
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Murid JPN Sarawak Kwang Law, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sibu Ali Chikba, PPD Kanowit Yakub Jai dan PPD Selangau Ringgit@Gawan Saut.
Oleh Akun Giman