KUCHING: Bandaraya Kuching telah diterima sebagai ahli UNESCO Creative Cities Network (UCCN) dalam bidang gastronomi.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Hamzah, kami berbangga kerana Kuching ialah bandar pertama di Malaysia yang dimasukkan ke dalam senarai UNESCO Creative Cities Network (UCCN).
“Permohonan Bandaraya Kuching kepada UNESCO adalah kerjasama berpasukan oleh Kementerian dan Majlis Bandaraya yang disokong oleh beberapa pihak berkepentingan Sarawak.
“Aplikasi tersebut mewakili sinergi antara institusi awam di peringkat Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dengan sektor swasta dan NGO.
“Mereka termasuk Culinary Heritage and Arts Society Sarawak (CHASS), sebuah gabungan luas pemegang kepentingan yang ditugaskan untuk mempromosikan dan memelihara tradisi gastronomi negeri, dan Society Atelier Sarawak, yang sebelum ini menerajui permohonan yang berjaya untuk menyenaraikan Kuching sebagai Bandar Kraf Dunia di bawah Majlis Kraf Dunia,” ujar beliau dalam sidang media Kuching Creative City of Gastronomy semalam.
Karim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kedua-dua Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Majlis Bandaraya Kuching Utara atas pencapaian yang begitu mengagumkan.
“Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, terutamanya YB Dato Sri Nancy Shukri, kerana menyokong Sarawak dan memudahkan penyerahan kepada UNESCO.
“Kita juga harus berterima kasih kepada alam semula jadi kita dan semua kumpulan etnik yang berbeza di Sarawak dengan warisan unik mereka dan teknik penyediaan makanan, yang membantu kita membina kes yang kukuh untuk masuk ke dalam senarai UNESCO UCCN.”
Terdapat tujuh kategori utama bandar kreatif yang telah digariskan oleh UNESCO iaitu ilmu dan kesusasteraan, filem, muzik, reka bentuk, kraf dan seni tradisional, gastronomi dan seni media.
Jelas Karim, penerimaan Bandaraya Kuching sebagai ahli UCCN adalah satu pencapaian yang cemerlang dan akan memberi impak positif kepada pembangunan sosioekonomi tempatan.
“Ia juga akan meningkatkan keterlihatan dan imej positif kedua-dua Malaysia dan Sarawak, terutamanya di pentas antarabangsa,” jelas Karim semalam.
Oleh AZREEN KERIA