CARPENTER Street, Kuching.
KEBAKARAN sesebuah bandar dalam sejarah merupakan fenomena yang sering berlaku. Pada tahun 587 sebelum masihi Jerusalem pernah terbakar. Begitu juga kebakaran berlaku di Constantinople pada tahun 532 kerana pemberontakan. London mengalami masalah sama pada tahun 1666 berpunca daripada percikan dari ketuhar pembuat roti.
Dalam sejarah Sarawak peristiwa kebakaran ini juga pernah berlaku. Kuching, misalnya, tidak terkecuali daripada masalah kebakaran ini. Pada 20 Januari 1884 merupakan detik penting dalam sejarah Kuching apabila berlaku satu kebakaran besar berlaku di bandar tersebut.
Permulaan Kebakaran
Kebakaran di Kuching ini bermula pada jam 1.15 pagi. Ketika itu ramai penduduk Kuching diulit mimpi malam. Satu isyarat amaran telah dibunyikan yang mana menyebabkan penduduk Kuching sedar akan kejadian yang berlaku. Penduduk awam terdiri daripada pelbagai kaum termasuk datu-datu Melayu telah datang untuk memberi bantuan.
Permulaan kebakaran ini bermula dari rumah kedai di Carpenter Street. Kebakaran ini merebak dengan cepat. Keadaan ini semakin marak kerana rumah-rumah kedai yang dibina di bazaar tersebut diperbuat daripada kayu. Manakala tiupan angin ke deretan kedai menyebabkan kebakaran ini semakin bertambah marak. Kebakaran ini sukar dikawal dan merebak pula ke China Street dan Bishopsgate Street.
Manakala api yang besar itu pula menyeberangi kedai-kedai bertentangan dengannya. Dalam masa yang singkat ketiga-tiga jalan tersebut telah diselubungi dengan api yang menyala.
Main bazaar yang berdekatan dengan kawasan kebakaran itu juga tidak terkecuali daripada kebakaran tersebut. Dua rumah kediaman saudagar Cina iaitu Seng Keng dan Kong Wan juga dijilat api semasa kebakaran itu berlaku.
Api kemarakan daripada kebakaran itu juga hampir menuju ke pejabat-pejabat kerajaan. Pada masa itu kedai firma terbesar orang Cina iaitu Ghee Soon & Company telah terkesan dengan kebakaran ini. Antara kedai milik syarikat ini yang mengalami kemusnahan daripada kebakaran ini ialah kedai candu, arak dan perjudian. Bebola candu, wain putih (champagne) dan peti wang merupakan barang yang musnah akibat kebakaran tersebut.
Hujan
Kebakaran yang berlaku ini cuba dipadamkan oleh pihak bomba diketuai oleh Pemangku Superintendent Polis, Awdrey. Namun demikian usaha mereka ini gagal mengawal keadaan dan api semakin marak seolah-olah akan membakar keseluruhan bandar Kuching.
Manakala orang awam dan bomba bersama-sama membantu menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam kebakaran. Mereka juga membantu mengeluarkan barang-barang daripada kedai-kedai tersebut.
Keadaan mula terkawal apabila hujah mula turun di sebelah pagi. Hujan ini membantu dan mengelak kebakaran tersebut menjadi lebih serius dan mengancam keselamatan Kuching. Kebakaran itu benar-benar reda dan padam sekitar jam 6 pagi. Hal ini menunjukkan bahawa kejadian kebakaran itu memakan masa yang panjang. Selama kira-kira lima jam kebakaran itu telah membakar hampir keseluruhan bandar Kuching menjadi abu.
Pihak kerajaan Brooke juga bertindak cepat membantu mangsa-mangsa kebakaran ini selepas kejadian tersebut. Beberapa rumah atap sementara dibina untuk mangsa yang kehilangan rumah kediaman mereka.
Kerugian Harta Benda
Kebakaran yang membakar tiga jalan di Kuching itu menyebabkan kemusnahan besar kepada kedai-kedai yang dibina di jalan-jalan tersebut. Sebanyak 132 rumah kedai pula telah musnah akibat kebakaran tersebut.
Ada yang menyatakan bahawa sebanyak 190 rumah kedai yang musnah. Keadaan di Carpenter Street, China Street dan Bishopsgate Street amat menyedihklan kerana kesemua harta benda di kawasan tersebut telah musnah.
Rumah baharu kepunyaan Law Ken Wat terletak di Nochi Road juga tidak dapat diselamatkan. Dalam kejadian kebakaran ini tidak dilaporkan tentang kehilangan nyawa. Hanya barang-barang yang musnah seperti dinyatakan tadi.
Penjarahan
Satu keadaan yang tidak sepatutnya berlaku semasa kebakaran tersebut ialah terdapat pihak-pihak tidak bertanggung jawab untuk mencuri dan menjarah harta benda mangsa kebakaran. Hal ini mudah berlaku kerana keadaan yang panik dan kelam kabut menyebabkan peluang ini terbentang luas bagi penjarah.
Memudahkan penjarah ini untuk melakukan penjarahan ini adalah apabila pihak pekedai dan peniaga di kawasan tersebut membaling barang-barang mereka keluar rumah. Tindakan membaling barang-barang ini adalah cubaan untuk menyelamat barang mereka tetapi hal ini diperhati oleh pihak penjarah untuk mencuri barang-barang tersebut.
Ada juga penjarah ini berpura-pura baik untuk membantu mangsa kebakaran. Mereka menawar untuk membawa barang-barang tersebut termasuk barang berharga dari rumah terbakar. Apabila mereka mendapat kepercayaan ini maka cepat-cepat mereka memuatkan barangan ini ke dalam perahu mereka. Selepas itu perahu tersebut dikayuh dengan pantas untuk mengelak daripada aktiviti mereka disedari oleh orang ramai.
Amat menyedihkan didapati ada segelintir penduduk setempat dan kuli-kuli yang terlibat dalam penjarahan ini. Usaha Kounsel Residen, F. O. Maxwell, Awdrey, Hardie dari Borneo Company Limited dan E. J. Smith dari syarikat yang sama bersama-sama dengan penduduk bangsa Eropah dan orang Melayu berjaya menyelamatkan perkara penjarahan ini semakin berleluasa.
Pihak polis juga mengambil iniasatif untuk menangkap mereka yang telah menjarah semasa kebakaran. Beberapa orang telah ditangkap dan dibicarakan atas kesalahan menjarah ini.
Pembinaan Semula
Kebakaran ini membuatkan kerajaan Brooke memikir semula langkah terbaik menghalang perkara ini berulang. Oleh kerana itu Raja Charles Brooke mengarahkan bahawa untuk masa depan semua kedai di Kuching perlu dibina menggunakan batu-bata. Sebarang pembinaan berasaskan kayu tidak lagi dibenarkan.
Pembinaan semula rumah-rumah kedai di Kuching telah dimulakan secepat mungkin. Dalam tempoh dua tahun sahaja telah terdiri rumah-rumah kedai tersebut di kawasan terbakar. Sebanyak kira-kira 70 buah rumah kedai dibina pada tahun 1885 dan selebihnya dibina pada tahun berikutnya.
Kebakaran ini merupakan salah satu proses urbanisasi yang mencabar bagi sebuah bandar yang baharu sahaja berkembang seperti Kuching. Pertambahan penduduk dan peningkatan aktiviti ekonominya yang mengembang Kuching sebagai sebuah pusat peniagaan dan pentadbiran.
Namun demikian perkembangan perbandaran ini diuji dengan pelbagai dugaan. Kebakaran pada tahun 1884 inilah contoh dugaan yang amat getir bagi penduduk Kuching untuk menyelamatkan Kuching daripada menjadi abu.
Sikap gigih penduduk Kuching menghalang hal ini berlaku dengan kerukunan penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum telah bersama-sama menyelamatkan bandar Kuching. Kegigihan mereka ini jugalah yang membina semula Kuching sebagai sebuah bandar (bandar raya) yang makmur dan maju hingga ke hari ini.
Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.