
ENGHIEN LES BAINS, PERANCIS: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, baru-baru ini mewakili Malaysia di Persidangan Tahunan Ke-17 Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) yang Enghien Les Bains, Perancis, yang mana beliau menekankan komitmen bandar tersebut untuk menyelaraskan inovasi teknologi dengan integriti budaya.
Bertemakan ‘Budaya dan Kecerdasan Buatan: Membentuk Masa Depan Bandar Kreatif UNESCO,’ persidangan tersebut menghimpunkan pemimpin bandar dari seluruh dunia untuk meneroka Kecerdasan Buatan (AI) dapat diintegrasikan secara bermakna dalam pembangunan budaya dan perancangan bandar yang mampan.
Dato Wee, yang mengetuai bandar pertama di Malaysia yang diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO sejak tahun 2021, telah dijemput khas untuk mengambil bahagian dalam sesi temu bual video yang dikendalikan oleh UNESCO.
Temu bual tersebut, sebahagian daripada montaj video yang lebih besar yang akan dikongsi di seluruh platform komunikasi global UNESCO, memaparkan pandangan para datuk bandar mengenai janji dan cabaran AI dalam ekonomi budaya dan kreatif.

Dalam ucapannya, Dato Wee menggambarkan kecerdasan buatan (AI) sebagai satu kuasa transformasi dipandu oleh nilai bersama dan keperluan rakyat, boleh meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam serta memperbaiki kualiti hidup secara keseluruhan.
“AI tidak seharusnya menggantikan semangat manusia. Sebaliknya, ia mesti digunakan untuk menyokong dan mengangkat komuniti kita,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan keperluan agar AI dapat diakses oleh semua, dengan menggesa agar ia diintegrasikan ke dalam sekolah, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor budaya dan perkhidmatan awam.
“Dengan menggabungkan AI di pelbagai sektor, kita dapat mencetuskan inovasi sambil memelihara identiti dan keterangkuman dalam pendidikan, pembuatan dasar, perniagaan dan seni,” tegas beliau.
Namun begitu, Dato Wee memberi amaran bahawa AI masih kekurangan nuansa emosi dan budaya yang wujud dalam hubungan manusia.
“Kita mesti memastikan pembangunan AI menghormati budaya tempatan dan keaslian. Ini bermakna membangunkan set data yang pelbagai, menguatkuasakan garis panduan etika yang kukuh serta melibatkan komuniti dalam proses tersebut,” tambah beliau.
Penyertaannya menegaskan peranan bandar raya Kuching yang semakin meningkat dalam dialog global mengenai transformasi digital dan kelestarian budaya, selari dengan visi lebih luas Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO untuk membentuk masa depan bandar yang lebih inklusif dan berdaya tahan.