
KUCHING: Kuching bakal mencatat sejarah sebagai bandar pertama di Malaysia yang melaksanakan sistem parkir pintar bersepadu awam dan swasta.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, Mesyuarat Kabinet baru-baru ini telah meluluskan penganugerahan konsesi parkir tepi jalan kepada pengendali baharu yang dilengkapi sistem parkir pintar, selaras dengan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam transformasi ekonomi digital.
“Kontrak perjanjian kini sedang dimuktamadkan dan pengendali baharu akan memulakan percubaan rintis bermula 1 November 2025 selama dua bulan sebelum pelancaran rasmi pada 1 Januari 2026,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kerjasama tersebut akan memperkenalkan sistem parkir moden yang lebih mesra pengguna dengan mengintegrasikan parkir milik Majlis dan parkir komersial dalam satu aplikasi mudah alih.
Antara ciri utama sistem berkenaan termasuk pembayaran tanpa tunai menerusi aplikasi mudah alih untuk parkir tepi jalan dengan pilihan kupon masih dibenarkan sehingga dimaklumkan kelak.
Selain itu, pemantauan serta penguatkuasaan juga akan dilaksanakan secara masa nyata menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat (LPR), sama seperti sistem yang digunapakai di pusat beli-belah.
Sistem bersepadu itu turut membolehkan pengguna menguruskan parkir swasta di pusat beli-belah bersama parkir melalui satu aplikasi, sekali gus memudahkan pemandu membuat bayaran atau melanjutkan tempoh parkir melalui aplikasi atau kod QR.
“Pengguna juga boleh menyemak ketersediaan parkir lebih awal menerusi aplikasi tersebut yang dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, menjimatkan masa, mengurangkan penggunaan bahan api serta menyokong persekitaran lebih bersih dan hijau,” jelasnya.
Dato Wee menegaskan, inisiatif itu bukan sahaja memodenkan sistem parkir bandar raya tetapi turut memperkukuh perkhidmatan bandar pintar demi kemudahan rakyat.