
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan kerjasama Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia dan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak menganjurkan satu bengkel perancangan penting dalam usaha memperkukuh penyertaan mereka dalam Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI).
Bengkel itu menghimpunkan wakil sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta ahli majlis dan pegawai MBKS bagi merangka bersama pelan tindakan komprehensif selama empat tahun ke arah memperjuangkan hak dan kesejahteraan kanak-kanak di Kuching.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menzahirkan penghargaan kepada UNICEF Malaysia dan Swinburne atas sokongan berterusan mereka yang disifatkan sebagai pemangkin utama kejayaan penganjuran bengkel berkenaan.
“Sokongan berterusan UNICEF dan Swinburne sangat penting dalam membantu kami menjadikan Kuching sebuah bandar yang lebih inklusif dan mesra kanak-kanak,” katanya.

Menurut beliau, pelan ini bukan sekadar berkisar tentang pembangunan infrastruktur semata-mata tetapi turut memberi tumpuan kepada aspek sosial, emosi dan tingkah laku yang memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak seperti kesihatan mental, buli, keterangkuman jantina dan pemupukan nilai-nilai positif.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi muda. Kita lakukan ini demi anak-anak yang tinggal, belajar dan membesar di Kuching hari ini, yang suatu hari nanti akan menjadi pemimpin masa depan bandar ini,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa ukuran sebenar kejayaan sesebuah bandar terletak pada bagaimana ia melindungi dan memenuhi keperluan golongan paling rentan, khususnya kanak-kanak.
“Pelan tindakan ini adalah bukti komitmen kita, bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk masa depan mereka,” tambahnya.
Bengkel CFCI anjuran MBKS ini merupakan langkah penting dalam menyemai dasar dan amalan berfokuskan kanak-kanak dalam pentadbiran tempatan sekali gus sokongan padu daripada rakan strategik dan masyarakat.
MBKS terus komited menjadikan Kuching sebagai model bandar yang mengutamakan hak, suara dan kesejahteraan setiap kanak-kanak.