KUCHING: Penganjuran Mesyuarat Tahunan Ketiga Rangkaian Bandar Raya Kreatif UNESCO (UCCN) bagi Bandar Raya Kreatif Gastronomi menjadi platform penting bagi Kuching memperkukuh hubungan dengan komuniti gastronomi dunia menerusi perkongsian idea, budaya dan kepakaran kulinari.
Datuk Bandar Kuching Selatan merangkap Presiden Persatuan Gastronomi Kuching, Dato Wee Hong Seng berkata, perhimpunan berprestij itu membuktikan keyakinan komuniti gastronomi antarabangsa terhadap keupayaan Kuching dalam menganjurkan acara bertaraf dunia.
Beliau berkata, setiap bandar raya mempunyai kisah, tradisi dan cabaran tersendiri. Justeru, penganjuran mesyuarat berkenaan memberi ruang kepada semua pihak untuk berkongsi idea serta meneroka pendekatan yang mampu memberi manfaat kepada komuniti masing-masing.
“Dengan menghimpunkan semua pihak, kita dapat berkongsi idea serta mempelajari pendekatan yang boleh memberi manfaat kepada komuniti masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Ketiga UCCN bagi Bandar Raya Kreatif Gastronomi yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Mesyuarat itu menghimpunkan kira-kira 200 delegasi dari 25 negara bagi bertukar pandangan, membina jaringan kerjasama serta meneroka peranan gastronomi dalam pembangunan bandar yang lebih mampan.

Wee berkata, pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Raya Kreatif Gastronomi UNESCO pada 2021 memberi peluang kepada bandar raya itu untuk mengetengahkan keunikan makanan tempatan serta warisan budaya masyarakat Sarawak ke peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, gastronomi bukan sekadar berkaitan makanan, malah turut mencerminkan identiti, tradisi dan kisah masyarakat yang menghasilkan setiap hidangan.
“Setiap resipi tradisional membawa bersama pengetahuan yang diwarisi daripada generasi terdahulu, manakala bahan tempatan pula menggambarkan hubungan rapat masyarakat dengan alam sekitar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Piala Dunia Kulinari Borneo 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 7 Ogos turut menjadi antara acara utama bersempena penganjuran UCCN kali ini.
Pertandingan berkenaan menampilkan 10 kategori utama dan 48 subkategori termasuk pastri, masakan antarabangsa, masakan Dayak, mi Malaysia dan Borneo, serta Cabaran Kotak Hitam yang menggunakan bahan tempatan Sarawak seperti midin dan terung Dayak.
Menurut Wee, pertandingan itu menarik penyertaan kira-kira 300 peserta, selain diserikan dengan kehadiran lebih 70 cef antarabangsa yang bertindak sebagai juri dari 24 negara.
Katanya, penyertaan komuniti kulinari antarabangsa itu mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap Kuching sebagai destinasi acara gastronomi bertaraf dunia.
Oleh Adele Rissa





