KUCHING: Kuching bakal menjadi tumpuan komuniti gastronomi dunia apabila Sarawak dipilih sebagai tuan rumah Persidangan Tahunan Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) Bandar Gastronomi 2026 dari 4 hingga 6 Ogos depan.
Penganjuran acara antarabangsa itu akan menghimpunkan pemimpin bandar, penggubal dasar, ahli akademik, cef, pengamal kulinari serta wakil industri dari Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO seluruh dunia bagi memperkukuh kerjasama, berkongsi amalan terbaik dan meneroka peranan gastronomi dalam pembangunan bandar mampan.
Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng berkata, penganjuran persidangan itu merupakan pencapaian penting buat Kuching, Sarawak dan Malaysia selepas bandar raya itu diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO pertama negara.
Menurutnya yang juga Presiden Persatuan Gastronomi Kuching, acara tersebut membuka peluang untuk mengetengahkan kekayaan warisan makanan tempatan, memperkukuh hubungan antarabangsa serta menunjukkan bagaimana gastronomi mampu menyumbang kepada pembangunan mampan dan memberi manfaat kepada komuniti.
“Penganjuran Persidangan Tahunan Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO Bandar Gastronomi 2026 mencerminkan perjalanan yang kita lalui sejak Kuching diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO pertama Malaysia.
“Ia merupakan peluang untuk memperkenalkan warisan kulinari kita, mengukuhkan kerjasama antarabangsa serta menunjukkan bagaimana gastronomi boleh menyokong pembangunan mampan sambil memberi manfaat kepada komuniti tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Persidangan Tahunan UCCN Bandar Gastronomi 2026 di MBKS hari ini.
Persidangan berkenaan akan dimulakan dengan Majlis Perasmian pada 4 Ogos 2026 di Sarawak Chamber, Hotel Riverside Majestic (Puteri Wing) Kuching, yang akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, program tiga hari itu akan menampilkan sesi pleno, dialog dasar, program jaringan, pameran kulinari serta lawatan teknikal yang memberi fokus kepada sistem makanan mampan, pelancongan gastronomi, pemeliharaan budaya dan inovasi dalam ekosistem makanan tempatan.
Antara pengisian utama ialah sesi panel bertajuk “Memelihara Warisan, Menyuburkan Masa Depan: Gastronomi ke Arah Bandar Raya Mampan” yang akan membincangkan bagaimana gastronomi mampu menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih mampan dan inklusif.
Menurut Wee, delegasi antarabangsa turut akan dibawa mengunjungi beberapa lokasi ikonik di Kuching termasuk Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Muzium Budaya Borneo, Kampung Budaya Sarawak, India Street Pedestrian Mall dan Kek Lapis Warisan bagi memberi pengalaman secara langsung berkaitan biodiversiti, warisan hidup serta keunikan gastronomi Sarawak.
Beliau berkata, kehadiran delegasi antarabangsa bukan sekadar untuk menghadiri persidangan, tetapi turut memberi peluang kepada mereka mengenali identiti Kuching melalui makanan, budaya dan hospitaliti tempatan.
“Mereka datang untuk meneroka Kuching. Mereka mahu merasai makanan kita, memahami budaya kita dan melihat mengapa UNESCO mengiktiraf Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi pertama Malaysia,” katanya.
Oleh Adele Rissa




