
Dato’ Sri Amran Mohamed Zin ketika melakukan kunjungan terhadap Premier Sarawak. Foto UKAS
PETRA JAYA: Sebanyak 19 mesyuarat peringkat ASEAN dijadualkan berlangsung di bandar raya ini tahun ini bersempena kepengerusian Malaysia dalam ASEAN.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Dato’ Sri Amran Mohamed Zin berkata, keputusan tersebut dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan mesyuarat itu turut melibatkan penyertaan di luar ibu negara.
“Kalau di Sarawak sahaja, kita ada 19 mesyuarat ASEAN yang akan berlangsung di Kuching dan setakat hari ini kita sudah mengadakan tujuh mesyuarat ASEAN.
“Minggu depan ada 12 mesyuarat lagi, termasuk mesyuarat di peringkat menteri, ketua pegawai kanan dan jawatankuasa kerja pelbagai mekanisme ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, turut dibincangkan aspek kerjasama berterusan antara Kementerian Luar dan kerajaan Sarawak khususnya dalam hal ehwal diplomatik serta lawatan rasmi ke luar negara.
“Kementerian Luar sebagai kementerian yang mempunyai wakil dalam bentuk kedutaan di luar negara, sentiasa komited untuk memberi bantuan fasilitasi sepenuhnya kepada lawatan-lawatan kerajaan Sarawak termasuk lawatan peringkat tertinggi oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan juga Premier Sarawak,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Fenny Nuli.-EDISI UKAS